Rabu, 6 September 2017 | 3:00pm
ORANG ramai menyertai kayuhan pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Perkongsian Basikal Tanpa Stesen (oBike) di Taman Awam Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Mohd Syafiq Ridzuan Ambak

Enam lokasi bebas karbon

KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mewartakan enam laluan di pusat bandar raya ini sebagai bebas karbon bulan depan, tempat untuk warganya melakukan kegiatan gaya hidup sihat.

Enam laluan sejauh kira-kira 6.5 kilometer (km) yang akan diwartakan sebagai bandar rendah karbon ialah Batu Burok, Kampung Cina, Jalan Sultan Ismail, Pulau Warisan, Jalan Tok Lam dan Paya Bunga Square.

Pemangku Datuk Bandar MBKT, Samiun Salleh, berkata laluan itu akan ditutup kepada semua kenderaan selama empat jam mulai jam 7 pagi hingga 10 pagi setiap Sabtu berkuat kuasa Oktober depan.

Beliau berkata, inisiatif baru itu diperkenalkan untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga bandar raya dan mendidik masyarakat serta pelancong menggunakan basikal sebagai pilihan pengangkutan di bandar.

"Kita sedang mengenal pasti kaedah terbaik termasuk memperkenal laluan basikal dan jalan alternatif bagi mengelak pemilik kenderaan menggunakan lokasi sama ketika program itu diadakan," katanya selepas Majlis Pelancaran Perkhidmatan Perkongsian Basikal Tanpa Stesen (oBike) di Taman Awam Batu Burok, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 500 peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan MBKT, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta warga bandar raya ini menyertai kayuhan sejauh kira-kira 6.5 km.

Turut menyertai kayuhan berbasikal ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Suffian Sulaiman dan Pegawai Perniagaan oBike, Ng Yong Ching.

Samiun yang juga Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu berkata, oBike diperkenalkan selaras visi kerajaan pusat dan negeri bagi mengurangkan penggunaan kenderaan dan meminimumkan kadar pelepasan karbon untuk memelihara alam sekitar.

Katanya, MBKT akan berusaha membawa perubahan dalam sistem pengangkutan melalui penggunaan teknologi untuk mengubah cara bergerak yang mampu meningkatkan kualiti kehidupan masyakarat.

"Hasil kerjasama dengan oBike, MBKT tidak mengeluarkan peruntukan terutama untuk menyediakan sebanyak 1,200 basikal di bandar raya ini, sebaliknya kemudahan itu disediakan syarikat berkenaan," katanya.

Berita Harian X