Khamis, 7 September 2017 | 11:35am
DATUK Seri Ahmad Razif Abd Rahman (tengah) dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria (kanan) bersama dengan peserta pada majlis Perasmian Penutup Hari Potensi Kanak-Kanak Tabika Kemas Negeri Terengganu Tahun 2017 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Rabu malam. - Foto Rozainah Zakaria

22,000 kanak-kanak TABIKA khatam al-Quran

KUALA TERENGGANU: Sejak dilaksanakan pada 2005, Program Penghayatan Islam dan Pintar al-Quran berjaya melahirkan 22,000 kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-Kanak (TABIKA) KEMAS yang khatam al-Quran sehingga kini.

Pengarah KEMAS negeri, Dr Faridah Mat, berkata daripada keseluruhan 878 kelas TABIKA KEMAS di negeri ini, sebanyak 702 sudah melaksanakan Program Penghayatan Islam dan Pintar al-Quran hasil inisiatif kerajaan negeri Terengganu.

"Kerajaan negeri sudah lama membantu memperkasakan pendidikan TABIKA KEMAS sejak 2005 apabila setiap tahun mereka memperuntukkan RM4.2 juta bagi melaksanakan dua program berkenaan.

"Buat masa ini sebanyak 176 kelas masih belum melaksanakan program ini, namun kita jangka ia akan disegerakan selepas kerajaan negeri memperuntukkan bajet baru kepada KEMAS," katanya selepas Penutupan Hari Potensi KEMAS 2017 Peringkat Negeri Terengganu, di Stadium Nasiruddin Shah, di sini, Rabu malam.

Seramai 476 wakil kanak-kanak dari Tabika KEMAS seluruh daerah menyertai majlis penutupan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Sementara itu Faridah berkata, sehingga kini seramai 702 guru khas mengaji seluruh negeri sudah dilantik untuk membimbing kira-kira 20,000 kanak-kanak TABIKA KEMAS di negeri ini.

"Setiap tahun lebih 20,000 kanak-kanak mendaftar di TABIKA KEMAS dan kanak-kanak yang berdaftar di kelas yang melaksanakan Program Penghayatan Islam dan Pintar al-Quran ini tidak akan terkecuali untuk mengikuti program berkenaan.

"Malah, bagi guru khas kelas mengaji, mereka diberi masa selama dua jam setiap hari persekolahan untuk mengajar kanak-kanak ini mengaji. Bagi menghargai guru khas ini, elaun sebanyak RM500 diberikan kepada mereka setiap bulan sebagai saguhati," katanya.

Katanya, dengan pemerkasaan program keagamaan seumpama itu, pihaknya berharap Tabika KEMAS terus menjadi pilihan utama ibu bapa untuk menghantar anak seawal usia lima hingga enam tahun menuntut ilmu.

"Selain kelas mengaji al-Quran pelbagai aktiviti keagamaan lain turut dilaksanakan termasuk aktiviti ibadat, amalan harian, bacaan doa, sirah dan fardu ain," katanya.

Berita Harian X