Sabtu, 9 September 2017 | 8:00am
BEKAS Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Bareng (kanan) dan bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem. - Foto NSTP
BEKAS Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Bareng (kanan) dan bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem. - Foto NSTP

Tun Salahuddin, Allahyarham Tok Nan, bergelar Pehin Sri

KUCHING: Bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Bareng, mengetuai senarai 952 penerima darjah dan pingat kebesaran sempena Hari Jadi Ke-81, Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, pagi ini, apabila dianugerahkan darjah Satria Bintang Sarawak (SBS).

Turut menerima darjah yang sama, yang membawa gelaran 'Pehin Sri' ialah bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, yang meninggal dunia pada 11 Januari lalu.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, pula penerima tunggal darjah Datuk Patinggi Bintang Kenyalang (DP) yang membawa gelaran 'Datuk Patinggi'.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Massyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, pula dianugerahkan Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran 'Datuk Seri'.

Turut menerima darjah yang sama, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem; Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Awal Kanak-Kanak, Datuk Fatimah Abdullah; serta bekas Peguam Besar Negeri Sarawak, Datuk Fong Joo Chung.

Darjah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran 'Datuk' pula dianugerahkan kepada lima penerima, iaitu Menteri Muda Belia dan Sukan, Snowdan Lawan; Peguam Besar Negeri, Talat Mahmood Abdul Rashid; Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi; bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Ajis Abdul Majeed dan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud.

Sementara itu, Darjah Jasa Bakti Sarawak (DJBS) yang membawa gelaran 'Datu' pula dianugerahkan kepada empat penerima, iaitu Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan, Safri Zainuddin; Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak, Zuraimi Sabki; Pengarah Sumber Manusia Negeri, William Patrick Nyigor dan Ketua Pendaftar Mahkamah Bumiputera Sarawak, Micheal Dawi Alli.

Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran 'Dato' diangerahkan kepada 10 penerima, iaitu bekas Panglima 9 Briged Infantri, Brig Jen (B) Datuk Muhammad Daniel Damian Abdullah; Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang; bekas Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak, Dr Yao Sik Chii dan ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri, Rabiah Johari.

Turut menerima darjah yang sama enam lagi penerima iaitu peguam Sharkawi Alis, Alex Ting Kuang Kuo, Temenggong Helmi Mohd Gol, Bernard Agan Assan, Goh Leng Chua dan Yepni @ Yet Adenan.

Majlis penganugerahan darjah dan bintang kebesaran itu akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, selepas perbarisan sempena Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Ke-81, pagi ini.

Selain itu, seramai tujuh penerima dianugerahkan pingat Johan Bintang Kenyalang (JBK), 15 menerima Johan Perkhidmatan Cemerlang (JPC), 28 menerima Pegawai Bintang Sarawak (PBS), 62 menerima Pegawai Bintang Kenyalang (PBK), 140 menerima Pingat Perkhidmatan Bakti (PPB) Perak, 83 orang menerima Ahli Bintang Sarawak (ABS), 174 orang menerima Ahli Bintang Kenyalang (ABK), 164 menerima Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) dan 253 dianugerahkan Bentara Bintang Sarawak (BBS).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X