Isnin, 11 September 2017 | 12:31pm
TAJUDDIN (tiga kanan) menyauk ikan patin yang diusahakan penternak di Kampung Pangsenam, ketika mengadakan lawatan kerja dan bertemu penternak ikan sangkar dan petani daerah Temerloh. - Foto Nazirul Roselan

Industri akuakultur Pahang RM270 juta

TEMERLOH: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan industri pengeluaran akuakultur di negeri ini mampu memberi pulangan yang baik dengan jumlah hasil melebihi RM270 juta menjelang hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan kepada potensi besar Pahang dalam sektor akuakultur.

"Pengeluaran akuakultur di Temerloh sahaja merekodkan lebih 14,000 tan metrik ikan pelbagai spesies seperti patin dan tilapia.

"Di Temerloh saja bilangan sangkar ternakan ikan sebanyak 2,018 unit dengan bilangan pengusaha seramai 283 orang," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis ramah mesra bersama-sama petani, penternak dan nelayan daerah Temerloh di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.

261 dibaca
Berita Harian X