Khamis, 14 September 2017 | 5:58pm
AHMAD Razif (tiga dari kiri) bersama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Zubir Embong (dua dari kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail (kiri) merasmikan Festival Kenyir 2017 yang bermula hari ini sehingga 17 September di Pengkalan Gawi. - Foto Nazdy Harun

Zon bebas cukai tarik pelancong

KUALA BERANG: Zon Bebas Cukai Tasik Kenyir (TKFTZ) mencatat jualan sebanyak RM1.7 juta dengan jumlah pengunjung seramai 90,050 orang, sejak ia mula beroperasi pada 1 Ogos lalu.

   Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata kerajaan negeri yakin jumlah pelancong dijangka meningkat lebih tinggi selepas Kompleks Bebas Cukai di Pulau Bayas, Tasik Kenyir, siap sepenuhnya akhir tahun depan.

   "Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yakin dengan siap sepenuhnya kompleks bebas cukai itu nanti akan menjadikan perniagaan bebas cukai di sini lebih pesat berkembang dengan ruang niaga lebih besar serta jumlah produk lebih banyak," katanya.

   Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Festival Kenyir 2017 di Pengkalan Gawi, di sini, hari ini.

   Dalam pada itu Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri akan memberi penekanan kepada pengurusan hospitaliti dalam mengekalkan kehadiran pelancong ke tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu.

   Beliau berkata selain itu, penyediaan infrastruktur di kawasan tasik berkenaan dipertingkatkan bagi menjamin kesinambungan dan kepuasan pelancong dari semasa ke semasa.

   "Kita mahu pemain industri di Tasik Kenyir memastikan layanan kepada pelancong seiring dengan pembangunan yang kita bawa ke sini.

   "Tasik Kenyir pesat membangun dengan taman tema di Pulau Poh bernilai RM100 juta yang dijangka beroperasi akhir tahun ini, manakala hotel 150 bilik dan 1,000 ruang parkir kini dalam proses pembinaan.

   "Kita berharap dengan siap sepenuhnya infrastruktur lain akan merancakkan lagi industri pelancongan di Tasik Kenyir," katanya.

   Beliau berkata, penganjuran Festival Kenyir juga dilihat mampu memberi kesan kepada peniaga dan penggiat industri pelancongan di sini.

   "Penganjuran festival yang bermula hari ini menyediakan 30 acara yang sesuai untuk segenap lapisan masyarakat dan ia diharap bukan hanya dapat memeriahkan festival, malah memberi peluang masyarakat mengenali Tasik Kenyir dengan lebih dekat.

   "Kita menyasarkan 15,000 pengunjung sehari ke festival ini atau 60,000 orang sepanjang empat hari festival berlangsung," katanya.

Berita Harian X