Khamis, 14 September 2017 | 11:49pm
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bersama Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. - Foto NSTP/Royal Press Office

Sultan Johor mahu bomba periksa sekolah tahfiz

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, menitahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengambil tindakan segera bagi mengenal pasti sekolah yang berisiko tinggi berlaku kebakaran di seluruh Johor.

Tegas baginda ini termasuk madrasah, pusat tuisyen, sekolah berasrama penuh, sekolah rendah dan menengah.

Sultan Johor mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) turut mengambil tindakan segera terhadap mereka yang beroperasi secara haram.

"Jika mereka didapati melanggar peraturan dan undang-undang, pihak berkuasa jangan teragak-agak untuk tutup premis mereka," titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan media rasmi dan komunikasi keluarga diraja Johor, Royal Press Office (RPO), di sini hari ini.

Baginda bertitah, pusat tahfiz yang dikendalikan secara persendirian mesti mempunyai lesen atau permit sah dan jika gagal dipatuhi, tindakan tegas akan diambil.

Sultan Johor bertitah langkah itu bagi memastikan kejadian yang sama tidak berlaku di Johor.

Baginda turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa kebakaran sekolah agama di Kuala Lumpur yang meragut nyawa 23 pelajar dan guru.

"Saya amat sedih dengan tragedi yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat. Tragedi itu amat menyayat hati.

"Semoga Allah beri kekuatan dan ketabahan hati kepada keluarga mangsa," titah baginda.

18383 dibaca
Berita Harian X