Sabtu, 23 September 2017 | 4:04pm
Penuntut Kolej Yayasan Saad Business School ketika mengedarkan makanan kepada gelandangan di sekitar Seremban semalam. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Ditinggal anak dan isteri, hidup merempat akibat dadah

SEREMBAN: Dadah bukan saja menjejaskan kesihatan, malah turut menyebabkan isteri dan empat anak meninggalkannya sejak lebih empat tahun lalu.

Bagi Yusof Hud, 34, yang beberapa kali dimasukkan ke Pusat Pemulihan Dadah, terjerumus dalam penagihan najis itu juga menyebabkannya hidup terbiar dan menjadi gelandangan.

Lelaki berasal dari Johor Bahru ini kini nekad untuk mengubah kehidupan diri dan berusaha mencari pekerjaan tetap.

"Saya terpaksa hidup gelandangan selepas gagal dapat kerja kerana status sebagai bekas penagih. Dadah menyebabkan saya hilang keluarga dan kini hidup merempat.

"Saya tidak tahu di mana anak dan isteri, tapi berharap mereka dapat memaafkan saya kerana gagal menjadi suami dan ayah yang baik," katanya.


Gelandangan, Yusof Hud, 34, ketika ditemui pada misi gelandangan NGO PERKASIH N9 di sekitar Seremban. - Foto Mohd Khidir Zakaria

Yusof ditemui pada Misi Mengedarkan Makanan Kepada Gelandangan oleh Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih (PERKASIH) Negeri Sembilan yang bermula jam 12.30 tengah malam sehingga 2.30 pagi tadi di Taman Tasik, di sini.

Mengakui menyesal dengan perbuatan lalu termasuk sanggup melakukan jenayah untuk mendapatkan bekalan dadah, dia berharap masyarakat dapat menerimanya, seterusnya memberi peluang kerja untuknya.

Sementara itu, Presiden PERKASIH, Murizan Mohamad, berkata misi setiap minggu itu bertujuan membantu golongan tidak bernasib baik.

Katanya, misi kali ini turut disertai 36 pelajar Kelab Philanthropist dari Kolej Yayasan Saad Business School (KYSB) Ayer Keroh, Melaka.

"Saya yakin mereka mendapat banyak pengajaran dan pengalaman sepanjang menyertai misi ini," katanya.

552 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »