Ahad, 24 September 2017 | 9:40am
PENGERUSI Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Asyraf Hamzah
PENGERUSI Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK), Datuk Seri Mustapa Mohamed. - Foto Asyraf Hamzah

Bomba diminta segera periksa pusat tahfiz di Kelantan

TUMPAT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan diminta mempercepatkan pemeriksaan keselamatan premis yang terbabit dengan pengajian agama di negeri ini, terutama pusat tahfiz.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata ia bagi mengelakkan kejadian di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur 14 September lalu, terjadi di negeri ini.

"Apa yang berlaku di Jalan Keramat Ujung itu satu peristiwa yang menyayat hati. Kita reda dengan apa yang berlaku tetapi pada masa sama, perkara itu tidak sepatutnya berlaku lagi pada masa depan.

"Caranya adalah ikut syarat ditetapkan kerajaan. Kita harap di Kelantan, pusat tahfiz akan mula diperiksa JBPM secepat mungkin supaya kejadian sama tidak berlaku," katanya yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Ziarah Kasih dan meninjau beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelaboran dan DUN Pengkalan Kubor, malam tadi.

Selasa lalu, mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) mengenai Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz, antara lain mengesyorkan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dipinda.

Ia bagi membolehkan pendaftaran institusi pendidikan Islam swasta, termasuk sekolah tahfiz swasta tertakluk di bawah akta itu dengan persetujuan kerajaan negeri.

Cadangan itu adalah langkah proaktif dalam mencari jalan menangani isu berkaitan sekolah tahfiz termasuk aspek keselamatan kerana pengurusan sekolah itu kini di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Yang turut dicadangkan, premis maahad tahfiz, sekolah agama, rumah anak yatim, rumah orang tua dan pusat asuhan kanak-kanak harus mematuhi piawaian keselamatan.

Ia susulan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut 23 nyawa termasuk 21 pelajar. - BERNAMA

Berita Harian X