Ahad, 24 September 2017 | 3:22pm
MENTERI Besar Kedah,Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bertanya khabar kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan Bukit Kechil,Pantai Merdeka. - Foto Omar Osman
MENTERI Besar Kedah,Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bertanya khabar kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan Bukit Kechil,Pantai Merdeka. - Foto Omar Osman
KETUA Wanita UMNO bahagian Kuala Kedah, Datin Noor Hasita Md Isa (dua dari kanan) memberi gula-gula kepada anak-anak mangsa banjir Kampung Alor Jaya, Anak Bukit yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Banjir Sekolah Kebangsaan Titi Gajah. - Foto Amran Hamid

Bantuan serta-merta RM100 kepada mangsa banjir di Kedah

JITRA: Kerajaan negeri mengumumkan bantuan serta-merta RM100 kepada setiap keluarga mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata bantuan itu akan diberikan kepada kira-kira 2,000 mangsa banjir yang berada di 20 pusat pemindahan yang dibuka di lima daerah di negeri ini membabitkan Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Pokok Sena dan Kuala Muda.

"Sedikit bantuan untuk perbelanjaan mereka ini akan diberikan serta-merta termasuk mereka yang sudah pulang ke rumah masing-masing, kerana senarai sebagai mangsa banjir ada untuk kita rujuk," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mahawangsa, di sini, yang menempatkan 509 mangsa membabitkan 242 keluarga.

Ahmad Bashah berkata kerajaan negeri juga akan menyalurkan Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) kepada mangsa banjir sebagai bekalan makanan untuk mereka.

Mengulas keadaan banjir di Kedah, beliau berkata ia berada dalam keadaan terkawal dengan kerjasama baik ditunjukkan pihak berkuasa.

"Berdasarkan lawatan saya, kita dapati keadaan banjir ini masih terkawal termasuk mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan.

"Walaupun sesetengah tempat masih ada air kerana menjadi laluan air ke laut, ia masih terkawal malah ada yang sudah surut contohnya di Padang Terap dan Kuala Nerang, " katanya.

Beliau berkata, projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dilaksanakan Kerajaan Pusat berupaya mengelakkan negeri ini dilanda bencana besar itu yang kebiasaannya melanda setiap 10 hingga 12 tahun.

Berita Harian X