X
Rabu, 27 September 2017 | 3:07pm
TAN Sri Lee Lam Thye (kiri) bersama Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (tengah) dan Pengerusi MCPF Johor, Datuk Freddie Loong (kanan) menunjukkan laporan MCPF Johor yang dibentangkan ketika mengadakan kunjungan hormat di IPK Johor. - Foto Hairul Anuar Rahim
TAN Sri Lee Lam Thye (kiri) bersama Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (tengah) dan Pengerusi MCPF Johor, Datuk Freddie Loong (kanan) menunjukkan laporan MCPF Johor yang dibentangkan ketika mengadakan kunjungan hormat di IPK Johor. - Foto Hairul Anuar Rahim

Cari penyelesaian jenayah jalanan, salah laku pelajar

JOHOR BAHRU: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mengadakan perbincangan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bagi mencari penyelesaian terbaik menangani pelbagai isu terutama jenayah jalanan dan salah laku pelajar.

Naib Pengerusi Kanan, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata inisiatif seumpama itu secara tidak langsung merapatkan hubungan antara kedua-dua pihak ke arah menjadikan kawasan penempatan komuniti lebih selamat.

Katanya, pihaknya turut bercadang bagi memperluas program pencegahan jenayah dalam kalangan komuniti, selain meningkatkan penyertaan pihak sekolah dalam usaha menangani kes salah laku pelajar.

"MCPF adalah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dipertanggungjawab menjadi jambatan hubungan antara polis dengan masyarakat setempat.

"Peranan MCPF dilihat semakin penting terutama dalam menyalurkan pandangan yang membina bagi kerajaan secara amnya, termasuk membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi penganjuran 'town hall' sebagai langkah merapatkan hubungan sesama masyarakat.

"Town hall bukan sahaja ruang bagi membincangkan secara bersama, malah sebagai satu peluang menyuarakan pandangan ke arah menjadikan masyarakat lebih selamat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat berkenaan di sini, hari ini. Yang turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

Lam Thye berkata, pihaknya akan menimbang bagi mengetengahkan isu penyalahgunaan dadah yang dihadapi di seluruh negara berikutan punca utama suspek yang terbabit adalah dalam kalangan penagih dadah jalanan.

Katanya, pihaknya memandang serius soal mengutamakan kempen kesedaran di sekolah kerana beranggapan semua pihak berperanan mendidik pelajar mengenai bahayanya penyalahgunaan dadah.

"Mengikut perangkaan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi tahun lalu, jumlah remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit dengan penyalahgunaan dadah adalah sebanyak 826 kes, selain belia berusia 19 hingga 39 tahun adalah sebanyak 22,709 kes dan dewasa berusia 40 hingga 50 tahun adalah 4,730 kes.

"Manakala, sejak awal tahun hingga Jun lalu, jumlah remaja terbabit dengan penyalahgunaan dadah adalah 193 kes, golongan belia pula sebanyak 7,416 kes dan kategori dewasa adalah sebanyak 2,608 kes," katanya.

Selain itu Lam Thye berkata, mengikut perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sepanjang tahun lalu sebanyak 5,944 kes jenayah membabitkan remaja dilaporkan, berbanding 6,060 kes pada tahun sebelumnya, malah dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 2,784 kes dilaporkan.

Katanya, berdasarkan perangkaan itu, kebanyakan remaja dilaporkan terbabit dalam kes rogol, samun, curi motosikal, ragut dan pecah rumah.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X