Rabu, 27 September 2017 | 6:35pm
DATUK Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.- Foto Owee Ah Chun

RM2 juta untuk MyBNHOME

KUALA TERENGGANU: Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk melaksanakan projek My Beautiful New Home (MyBNHOME) di Kampung Mak Kemas, Bukit Payong, Marang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata projek pembinaan kediaman sebanyak 50 unit yang itu akan menggunakan konsep Strategi Lautan Biru (NBOS) di atas tanah seluas 1.8 hektar.

Katanya, kos bagi setiap unit kediaman yang dibina hasil usaha sama kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan itu sebanyak RM40,000 dan membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2 juta.

"Walaupun kos untuk pembinaan rumah yang mempunyai dua bilik tidur dan dua bilik air itu berjumlah RM40,000, tetapi kediaman itu akan dijual kepada golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM3,900 (B40) sebanyak RM20,000.

"Tempoh bayaran balik selama 30 tahun dengan dengan ansuran bulanan antara RM200 dan RM250 sebulan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, petang ini.

Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wan Nawawi Ismail.

Ahmad Razif berkata, Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menyediakan kemudahan pinjaman kepada pemohon.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri memperkenalkan JOBS Tranformasi Terengganu Baharu kepada graduan yang masih menganggur untuk mengikuti pelbagai krusus kemahiran.

Katanya, sepanjang mengikuti kursus itu, kerajaan negeri akan membayar elaun sebanyak RM1,000 sebulan kepada graduan berkenaan.

"Graduan yang berminat boleh mengemukakan permohonan melalui atas talian yang akan dibuka mulai awal bulan depan," katanya.

329 dibaca
Berita Harian X