Isnin, 2 Oktober 2017 | 9:22pm
SEBANYAK 102 anak penyu karah dilepaskan ke pantai sekitar Melaka pada Program Pra Gelombang Nelayan Nasional (GGN) peringkat negeri di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting, Masjid Tanah, lewat petang tadi. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Padang Kemunting bakal perkampungan mesra penyu

MASJID TANAH: Kerajaan Melaka akan menjadikan Padang Kemunting, di sini, sebagai perkampungan mesra penyu dalam usaha memelihara spesies penyu karah.

EXCO Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abd Rahman, berkata pendaratan penyu karah di negeri ini menjadi aset berharga, malah yang tertinggi di Semenanjung Malaysia.

"Selain itu, Melaka juga menjadi satu daripada lokasi pendaratan penyu karah terpenting di rantau Asia Tenggara. Kita tidak boleh mensia-siakan usaha ini dalam menjadikan negeri ini sebagai pusat tumpuan pelancong.

"Langkah menjadikan Padang Kemunting sebagai lokasi perkampungan mesra penyu antara lain bertujuan menjamin populasi haiwan itu tidak diancam kepupusan seterusnya dapat dilihat generasi akan datang," katanya selepas Program Pra Gelombang Nelayan Nasional (GGN) peringkat negeri di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting, di sini, lewat petang tadi.


SEBANYAK 102 anak penyu karah dilepaskan ke pantai sekitar Melaka pada Program Pra Gelombang Nelayan Nasional (GGN) peringkat negeri di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting, Masjid Tanah, lewat petang tadi. - Foto Muhammad hatim Ab Manan

Pada program itu, sebanyak 102 anak penyu karah dilepaskan ke pantai sekitar Melaka.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud dan Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Johari Tim.

Sementara itu, Johari berkata sebanyak 9,020 jumlah pendaratan penyu karah direkodkan di negeri ini sejak tahun 1990 dengan jumlah 1.6 juta biji telur dihasilkan.

"Mengikut rekod tahun lalu, Melaka mencatat 384 jumlah pendaratan penyu karah dengan 42,248 biji telur dan 16,067 daripadanya berjaya melalui penetasan.

"Sehingga Ogos lalu pula, sebanyak 476 jumlah pendaratan direkodkan dengan 54,129 biji telur dihasilkan dan 25,835 daripadanya melalui proses penetasan," katanya.


ANTARA anak penyu karah yang dilepaskan ke pantai sekitar Melaka pada Program Pra Gelombang Nelayan Nasional (GGN) peringkat negeri di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting, Masjid Tanah, lewat petang tadi. - Foto Muhammad hatim Ab Manan

301 dibaca
Berita Harian X