Selasa, 3 Oktober 2017 | 5:55pm
Pengarah Tourism Malaysia China Selatan, Sharon Ho (lapan dari kanan) ketika sambutan Smart Partnership FAM Trip to Beautiful Terengganu di Primula. - Foto Aslina Abu Bakar

Penerbangan terus ke Terengganu dari Shenzen, Guangzhou tahun depan

KUALA TERENGGANU: Dua syarikat penerbangan China berminat mengadakan penerbangan terus dari Shenzhen dan Guangzhou ke Kuala Terengganu.

Pengarah Tourism Malaysia di Guangzhou, Sharon Ho, berkata dua syarikat penerbangan itu dijangka memulakan kerjasama penerbangan terus itu April tahun depan sekiranya segala proses berjalan lancar, dengan kekerapan antara tiga dan empat kali seminggu.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya giat melakukan promosi kepada syarikat penerbangan di wilayah itu bagi merealisasikan hasrat kerajaan mewujudkan lebih banyak penerbangan carter terus dari China ke Terengganu.

"Pelancong dari China memang sangat meminati pulau dan pantai di negeri ini. Bagaimanapun, mereka mengalami kesukaran untuk datang ke sini kerana tiada penerbangan terus dari China ke Terengganu.

"Mereka terpaksa menggunakan dua penerbangan untuk melancong ke negeri ini iaitu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 sebelum mengambil penerbangan ke Terengganu.

"Oleh itu, Tourism Malaysia mengadakan beberapa perbincangan dan promosi dengan syarikat penerbangan di sana bagi menarik minat mereka menyediakan kemudahan penerbangan carter ke negeri ini.

"Jika promosi, kemudahan dan perkhidmatan dapat diselaraskan dengan baik, kita yakin perkhidmatan penerbangan carter terus dari Shenzhen dan Guangzhou ini boleh dimulakan pada April tahun depan," katanya kepada media sempena sambutan delegasi dari China, di sini, hari ini.

Sharon berkata, selain mempromosi tarikan pulau di Terengganu yang hanya dibuka untuk tempoh lapan bulan berikutan musim tengkujuh pada akhir tahun, pihaknya turut mengetengahkan beberapa produk pelancongan lain seperti Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, yang menjadi lubuk buat kaki pancing.

"Kebanyakan pelancong dari China hanya tahu Terengganu mempunyai pulau dan pantai yang indah tetapi mereka tidak tahu produk lain yang terdapat di negeri ini.

"Jadi kami mengambil inisiatif membawa mereka ke Terengganu untuk melihat lebih dekat tarikan yang terdapat di negeri ini," katanya.

Berita Harian X