Rabu, 4 Oktober 2017 | 7:30pm
TENGKU Adnan Tengku Mansor

Atlet terima habuan RM375,500

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan hari ini menyerahkan insentif berjumlah RM375,500 kepada 167 atletnya yang menyumbang pingat pada Sukan Sea Kuala Lumpur ke- 29 (KL2017) Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017), baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata atlet Wilayah Persekutuan berjaya membantu kontinjen negara menyumbang 36 pingat emas, 31 perak dan 30 gangsa menerusi kedua-dua sukan itu.

Katanya, ia menunjukkan Wilayah Persekutuan mempunyai ramai atlet berbakat besar dan cemerlang di peringkat antarabangsa.

"Ini dapat dilihat menerusi beberapa acara sukan seperti akuatik, boling dan luncur ais, sekali gus saya yakin hasrat untuk memajukan lagi sukan di Wilayah Persekutuan.

"Pihak pengurusan tertinggi dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) memberi sokongan untuk memastikan kejayaan mereka.

"Jadi selayaknya mereka menerima insentif atau ganjaran setimpal kepada semua atlet," katanya pada majlis pemberian insentif kepada atlet terbabit, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan.

Yang turut hadir, Pengarah MSWP, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abdul Aziz Abdul Rahman.

Atlet yang menyumbang pingat emas menerima insentif RM5,000 (kategori individu) dan RM3,000 (kategori berpasukan) manakala perak RM1,500 (kategori individu) dan RM1,000 (kategori berpasukan).

Atlet yang menyumbang pingat gangsa pula menerima insentif RM1,000 untuk individu dan RM800 bagi berpasukan.

Antara penerima insentif dari Kementerian Wilayah Persekutuan ialah atlet terjun, Nur Dhabitah Sabri; atlet lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli dan atlet ekuestrian, Quzandria Nur dan Qabil Ambak Mahamad Fatil.

396 dibaca
Berita Harian X