Rabu, 4 Oktober 2017 | 8:08pm
Model bergambar bersama basikal dimajlis pelancaran Mobike dengan kerjasama Cyberview dan Mastercard di Cyberjaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Khidmat basikal pintar percuma di Cyberjaya

CYBERJAYA: Sebanyak 10 hub basikal pintar Mobike yang dilengkapi Sistem Kedudukan Global (GPS) akan ditempatkan di lokasi strategik bandar teknologi pintar ini, di sini.

Pelancaran perkhidmatan itu, yang mendapat kerjasama Cyberview Sdn Bhd dan MasterCard Malaysia, menawarkan perkhidmatan percuma sepanjang bulan ini, sebelum pengguna dikenakan RM1.50 bagi tempoh 30 minit.

Ketua Bahagian Pembangunan Hub Teknologi Cyberview Sdn Bhd, Mahadhir Aziz, berkata pihaknya menawarkan 110 perkhidmatan basikal pada peringkat awal ini, yang ditempatkan di kawasan strategik seperti stesen bas, kompleks membeli belah, kolej dan universiti.

"Perkongsian basikal pintar ini bertujuan membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat di sini, selain memberi penyelesaian mobiliti mudah, berpatutan dan mesra alam," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Mobike Cyberjaya, di sini.


Pengerusi Cyberview Sdn Bhd, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah (dua dari kiri) bersama Pengurus Negara Mobike Malaysia, Sanjey Chandran (kiri) dan Pengarah Negara Mastercard Malaysia dan Brunei, Perry Ong (kanan) bergambar bersama basikal selepas melancarkan Mobike dengan kerjasama Cyberview dan Mastercard di Cyberjaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan merangkap Pengerusi Cyberview, Tan Seri Dr Irwan Serigar Abdullah.

Yang turut hadir, Pengurus Mobike Malaysia, Sanjey Chandra dan Pengurus Mastercard Malaysia dan Brunei, Perry Ong.

Malaysia menjadi negara ketiga mempunyai operasi Mobike selepas Singapura dan Thailand, manakala Cyberview adalah lokasi kedua selepas Setia Alam dan Eco Park, Shah Alam.

Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi Mobike dan mengaksesnya di telefon pintar, daftar dan imbas kod respon pantas (QR) pada basikal bagi membolehkan teknologi kunci pintar Mobike dibuka serta-merta untuk ditunggang pengguna.


Pengerusi Cyberview Sdn Bhd, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah (hadapan) bersama Pengurus Negara Mobike Malaysia, Sanjey Chandran (dua dari kanan) dan Pengarah Negara Mastercard Malaysia dan Brunei, Perry Ong (kiri) menaiki basikal selepas melancarkan Mobike dengan kerjasama Cyberview dan Mastercard di Cyberjaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Mahadhir berkata, Mobike menjadi suatu jalan penyelesaian mudah kepada pengguna untuk bergerak tanpa menggunakan kenderaan awam, manakala amalan berbasikal dapat mengekalkan konsep kehijauan dan bebas asap yang diperkenalkan dalam bandar pintar itu.

"Kita yakin ia akan mendapat sambutan dan jumlahnya ditambah dari masa ke semasa mengikut keperluan," katanya.

Berita Harian X