Selasa, 10 Oktober 2017 | 2:24pm
OTHMAN Aziz (kanan) melihat demonstrasi menaik bot persiaran menggunakan alat hidrolik pada Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Pelabuhan Kargo Am dan Labuhan Pukal Kering di Dermaga Tanjung Lembung, Langkawi. - Foto Hamzah Osman

Dermaga Tanjung Lembung berwajah baharu

LANGKAWI: Dermaga Tanjung Lembung (DTL), antara pintu masuk utama ke pulau ini kini berwajah baharu dan bersedia mengendalikan kapasiti kargo yang lebih besar apabila projek menaik taraf bernilai RM28 juta sudah siap sepenuhnya.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz berkata, dermaga berusia 20 tahun itu sudah bersedia menjadi pusat pengendalian kargo, feri kenderaan berserta penumpang dan pusat pembaikan kapal bertaraf antarabangsa dalam tempoh terdekat.

"Projek membabitkan kerja pembinaan labuhan am sepanjang 450 meter, kawasan dataran untuk pengendalian dan penyimpanan kargo, labuhan pukal kering sepanjang 46 meter dan sebuah gudang bersaiz 76 meter panjang dan 18 meter lebar sudah siap lebih sebulan lalu.

"Menelan kos kira-kira RM28 juta, projek ini antara yang cepat disiapkan bagi meningkatkan urusan kemasukan keluar dan masuk kargo ke pulau ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Pelabuhan Kargo Am dan Labuhan Pukal Kering di DTL, di sini, hari ini.

Othman berkata, berdasarkan rekod DTL mencatatkan pengendalian kargo lebih 275,000 metrik tan sepanjang beroperasi mulai 15 November 1997 dan angka itu dijangka meningkat seiring pengembangan ekonomi di pulau bebas cukai itu.

Mengulas perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian apabila fasa satu projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) yang bernilai RM90 juta kini berada pada peringkat akhir untuk dilaksanakan.

"Projek (pembesaran LTAL) berada pada peringkat melukis pelan dan pengambilan tanah, selain perbincangan akhir membabitkan Kementerian Kerja Raya, Kerajaan Negeri, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Malaysia Airports Holdings Berhad.

"Ia akan dimulakan secepat mungkin sebagai usaha menggandakan keupayaan kita untuk mengendalikan peningkatan jumlah pesawat domestik dan antarabangsa, sekali gus merealisasikan sasaran kerajaan menggamit lima juta pelancong ke Langkawi menjelang 2020.

"Menerusi kira-kira 40 penerbangan sehari ketika ini, Langkawi mencatat kemasukan 1.2 juta pelancong asing dan 3.4 juta tempatan dan jumlah itu pasti meningkat sebaik projek pembesaran LATAL siap kelak," katanya.

Berita Harian X