Rabu, 11 Oktober 2017 | 10:03pm
YANG Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM) Jamaludin A Hamid. - Foto Adi Safri

Pengusaha inap desa, rumah penginapan perlu ada lesen

MUAR: Semua pengusaha inap desa dan rumah penginapan di daerah ini perlu mendapatkan Lesen Rumah Penginapan bermula 1 November ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM) Jamaludin A Hamid, berkata tindakan itu bertujuan untuk mengawal kewujudan rumah kediaman yang dijadikan rumah penginapan atau inap desa yang semakin bertambah.

Katanya, ia bagi membolehkan pengusaha mematuhi syarat yang dikenakan, serta mengelakkan sebarang aduan daripada pihak pengguna.

"Lesen Rumah Penginapan ini sebahagian daripada Undang-Undang Kecil Perlesenan, Tred, Perniagaan, Perindustrian dan Profesen (MDMS) 1981.

"Ia adalah keputusan daripada pihak MPM selepas menerima cadangan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

"Ini kerana terdapat kes di mana rumah inap desa turut dijadikan tempat transit kepada penjenayah. Malah, ada kemudahan ini dijadikan lokasi untuk merancang jenayah berikutan ia tidak mempunyai sebarang data seperti daftar masuk, daftar keluar sebagaimana kemudahan penginapan seperti hotel," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat MPM di sini, hari ini.

Jamaludin berkata, selain itu, Lesen Rumah Penginapan ini turut mengenakan syarat lain yang bertujuan memberi manfaat kepada semua pihak.

"Antara syarat baharu dalam lesen terbabit ialah setiap pengusaha hanya dibenarkan beroperasi di kawasan dan jenis tertentu sahaja seperti rumah banglo, rumah teres berkembar (semi-D), rumah bertingkat, rumah teres dan rumah tradisional.

"Selain itu hanya warga negara sahaja yang boleh mengusahakan rumah tumpangan dan inap desa di daerah ini dan mereka juga perlu menyediakan lot pakir yang tidak mengganggu jiran, menyediakan langkah keselamatan seperti peti pertolongan cemas dan alat pemadam api," katanya.

Beliau berkata, selain itu menerusi lesen sama setiap pengusaha juga perlu menyediakan polisi insurans dan juga laluan kecemasan bagi melindungi pengguna.

Katanya, Lesen Rumah Penginapan ini juga akan mewajibkan pengusaha supaya menyediakan buku log daftar masuk kepada setiap penginap yang menyewa bagi membolehkan identiti mereka dapat dikenal pasti sekiranya diperlukan.

Berita Harian X