Khamis, 12 Oktober 2017 | 11:59am
SITI Seri Murni Mohd Amin, 14, menjaga ibunya ketika mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Korban masa belajar jaga ibu sakit kanser

RANTAU PANJANG: Seorang remaja terpaksa mengorbankan masa persekolahannya demi menjaga ibu yang menghidap kanser ovari tahap empat, di Kampung Banggol Kekabu, di sini.

Siti Seri Murni Muhammad Amin, 14, yang juga anak sulung banyak memikul tanggungjawab menjaga ibunya Fatimah Che Harun, 33, yang menderita kanser sejak tiga tahun lalu.

Katanya yang sering gagal hadir sekolah kerana membantu menguruskan ibunya setiap hari selain menemaninya di Hospital Universiti Malaysia (HUSM) bagi mendapatkan rawatan dan kimoterapi.

"Selepas ibu menjalani pembedahan awal bulan lalu, keadaannya masih lemah dan perlu dibantu. Ibu lebih banyak berbaring keletihan, dan saya yang membantu menjaga makan minum dan pakainya.

"Sejak ibu menderita akibat kanser, kami terpaksa berjauhan daripada bapa, Mohd Amin Ahmad, 42, dan dua adik Mohd Hashim, 11, dan Mohd Amir, 12 yang kini berada di Kampung Ingin Maju, Gua Musang.

"Ayah menetap di sana bersama adik-adik untuk mencari rezeki dengan menoreh getah dengan pendapatan RM500 sebulan.

"Saya dan ibu mengambil keputusan menumpang di rumah nenek di sini, bagi memudahkan urusan ibu yang perlu mendapatkan rawatan di HUSM," katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab Shukriah, Lubok Setol, di sini.

Siti Seri Murni berkata, guru dan rakan sekolahnya juga sudah mengetahui masalah yang dihadapinya, selain ada kalanya dia tiada wang belanja.

"Saya tidak kisah mengorbankan masa belajar atau bersama rakan kerana kasihan melihat ibunya yang menderita sakit selain perlu dibantu setiap masa.

"Biarlah saya berkorban demi ibu, lagipun saya anak sulung dan dua adik saya masih kecil.

"Saya hanya mengharapkan agar ibu cepat pulih dan sihat seperti biasa kerana saya rindukan kehidupan seperti sebelum ini untuk ke sekolah dan belajar," katanya.

Berita Harian X