Sabtu, 14 Oktober 2017 | 3:06pm
MOHD Rozi Jidin (depan) mengetahui acara kayuhan basikal mengelilingi daerah Kota Setar sempena sambutan Hari Sukan Negara. - Foto ihsan PDRM

Program 'Trim N Fit' untuk naik pangkat

ALOR SETAR: Setiap anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar yang mempunyai berat badan dan ukur lilit pinggang berlebihan akan diserapkan ke dalam Program 'Trim N Fit ' bagi membolehkan kenaikan pangkat, tahun depan.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata program ini sudah masuk siri kelima untuk menurunkan berat badan anggotanya dan mencapai Indeks Berat Badan (BMI) normal.

Beliau berkata, mereka menyertai program selama enam minggu akan melalui latihan fizikal dan pemakanan khusus.

"Program ini penting dalam proses kenaikan pangkat mereka tahun depan, selain mempunyai stamina dan cergas dalam memberi perkhidmatan seharian.

"Saya lihat program ini berkesan dan ada perubahan di mana ada anggota yang berjaya menurunkan berat badan sehingga lapan kilogram (kg)," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sambutan Hari Sukan Negara Peringkat IPD Kota Setar, di sini, hari ini.

Mohd Rozi berkata, anggotanya yang berjaya mendapat BMI normal akan diberi sijil penghargaan menurunkan berat badan.

"Kita akan mencari lebih ramai anggota yang mempunyai berat badan berlebihan untuk diserapkan ke dalam program ini.

"Program akan diteruskan selepas ini bagi melahirkan anggota polis yang cergas dan sihat," katanya.

Terdahulu pada sambutan Hari Sukan Negara, seramai 300 pegawai dan anggota polis IPD Kota Setar mengikuti senamrobik sebelum Mohd Rozi bersama 48 orang menyertai kayuhan basikal.

Mohd Rozi berkata, selain mengayuh basikal, pihaknya juga ingin bertemu masyarakat dan mengedarkan risalah berkaitan kepolisan masyarakat.

Berita Harian X