Isnin, 16 Oktober 2017 | 3:02pm
PENGARAH Operasi Penerbangan MASWings, Datuk Kapten Mohd Azlan Mahmood (kanan) bersama Ketua Pegawai Komersial MASWings, Shauqi Ahmad (kiri) serta Ketua Kejuruteraan MASWings, Aaron Dominic Anthony (tengah) menunjuk kerusi dalam pesawat ATR 72-500 yang diperbaharui, di MAB Engineering Hangar, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin.
PENGARAH Operasi Penerbangan MASWings, Datuk Kapten Mohd Azlan Mahmood (berdiri atas) bersama Ketua Pegawai Komersial MASWings, Shauqi Ahmad (berdiri tiga dari atas) serta Ketua Kejuruteraan MASWings, Aaron Dominic Anthony (berdiri dua dari atas) bergambar beramai disisi pesawat ATR 72-500 yang akan diperbaharui kabin, di MAB Engineering Hangar, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin.
ANTARA pesawat dari Syarikat Penerbangan MASWings buat kerja-kerja pembaharui kabin pesawat ATR 72-500, di MAB Engineering Hangar, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin.

RM3 juta perbaharui kabin

KOTA KINABALU: MASwings memperuntukkan kira-kira RM3 juta bagi memperbaharui kabin pesawat ATR 72-500 milik syarikat penerbangan itu, sejak awal tahun ini.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) merangkap Pengarah Operasi MASwings, Datuk Azlan Mahmood, berkata proses memperbaharui kabin itu membabitkan sebanyak 10 pesawat ATR 72-500 yang beroperasi di Sabah dan Sarawak.

Katanya, kerja memperbaharui kabin pesawat itu yang antaranya membabitkan penggantian kusyen tempat duduk, alas lantai dan tirai dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan semuanya dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.

"Pembaharuan kabin pesawat MASwings ini sejajar usaha kami mempertingkatkan mutu perkhidmatan di kedua-dua negeri, termasuk mengurangkan masa kelewatan penerbangan," katanya selepas previu media kabin pesawat ATR 72-500 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Komersial MASwings, Shauqi Ahmad dan Ketua Kejuruteraan MASwings, Aaron Dominic.

Bersempena previu itu, seramai 15 petugas media dibawa melawat kabin pesawat ATR 72-500 untuk melihat kerja pembaharuan pesawat itu.

Azlan berkata, pembaharuan itu diharap mampu meningkatkan perkhidmatannya kepada pelanggan, selain memastikan kerja penyelenggaraan dibuat sebaik-baiknya sekaligus mengurangkan kelewatan atau pembatalan penerbangan.

Mengenai perjanjian Perkhidmatan Udara Luar Bandar membabitkan operasi MASwings, beliau berkata ia masih dalam perbincangan.

Sementara itu, Shauqi berkata, walaupun berdepan keadaan cuaca tidak menentu dan kekangan geografi terutama di kawasan luar bandar, ia tidak menghalang operasi ketepatan waktu penerbangan (OTP) pesawat berkenaan di Sabah dan Sarawak.

"Setakat ini kita berjaya mengurangkan jumlah pembatalan penerbangan, malah ada OTP mencecah 100 peratus, bermaksud tiada pembatalan. Dianggarkan OTP kita antara 96 hingga 100 peratus.

"Kita berusaha mempertingkatkan perkhidmatan MASwings ke tahap lebih tinggi, selain mengurangkan pembatalan dan setakat ini penduduk Sabah dan Sarawak memberi sokongan kepada perkhidmatan kami," katanya.

Berita Harian X