Isnin, 16 Oktober 2017 | 3:51pm
KETUA Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim (kanan) menyemat pangkat Timbalan Kanan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat) kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di Majlis Penganugerahan Tanda Pangkat Kehormat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) kepada Menteri Besar Pahang dan Barisan Exco di Hotel Zenith. - Foto Zulkepli Osman

Adnan terima pengiktirafan bomba

KUANTAN: Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob hari ini menerima pengiktirafan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi pemakaian pangkat Timbalan Kanan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat).

Pemakaian pangkat dilakukan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim pada satu majlis di Hotel Zenith, dekat sini.

Yang turut menerima penganugerahan pangkat sama ialah barisan EXCO kerajaan Pahang dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin menjadi wanita tunggal menerima pangkat Timbalan Pesuruhjaya Bomba (Kehormat).

Wan Mohd Nor berkata, pemakaian pangkat itu penghargaan JBPM kepada tokoh yang banyak memberi bantuan dan sumbangan tanpa mengira waktu kepada jabatan itu.

"Pengiktirafan ini tanda terima kasih JBPM di atas sumbangan dan sokongan yang diberikan tokoh dan pemimpin masyarakat. Mereka secara langsung dan tidak langsung membantu JBPM dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata, penerima pangkat berkenaan di Pahang, iaitu negeri ketiga selepas Perak dan Melaka adalah yang paling ramai.

"Sebelum ini kami hanya bagi kepada Menteri Besar dan individu berkaitan bomba sahaja, namun kali ini diberikan kepada semua EXCO kerajaan negeri," katanya.

Berita Harian X