Rabu, 25 Oktober 2017 | 3:35pm
Sebahagian lelaki yang ditahan dipercayai terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam operasi perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di empat lokasi panas di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Tidur di kaki lima selepas ambil dadah

SANDAKAN: Cuma mahu melepak di luar rumah kerana baru balik dari kedai.

Itu alasan dua lelaki disyaki penagih dadah apabila disoal anggota penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kerana tidur beralaskan tilam di kaki lima flet Sri Taman di sini dalam serbuan menerusi operasi perdana agensi itu, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, helah dua lelaki itu gagal apabila ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah sebelum ditahan.

Di flet sama, seorang lelaki ditahan selepas anggota AADK menemui sejumlah wang tunai disembunyikan dalam tong di biliknya, dipercayai hasil jualan syabu.

Sebelum itu, dua lagi lelaki yang dipercayai khayal kerana disyaki di bawah pengaruh dadah, ditahan di sebuah rumah di Kampung Sungai Kayu dan turut ditemui peralatan menagih.


Sebahagian lelaki yang ditahan dipercayai terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam operasi perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di empat lokasi panas di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Sementara itu, dalam operasi di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra, dua lelaki ditahan ketika melepak di bawah rumah bersama dua kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan sembilan hingga 12 tahun.

Kedua-dua suspek turut memberi alasan berehat sebelum pemeriksaan mendapati mereka positif dadah.

Operasi perdana itu yang bermula jam 12 tengah malam hingga 5 pagi tadi membabitkan 30 anggota AADK bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan tumpuan ke atas empat lokasi panas dipercayai sarang penagih dadah iaitu Kampung Sungai Kayu, Kampung Batu Putih, flet Sri Taman dan PPR Taman Mesra.


Anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyoal dua kanak-kanak yang turut ditemui 'melepak' bersama lelaki disyaki terbabit dalam kegiatan penagihan dadah dalam serbuan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie SidomPOLIANA RONNIE SIDOM

Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan AADK Sabah, Christopher Billy, berkata ia adalah siri kedua operasi perdana selepas dilancarkan di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

"Beberapa daerah diberi tumpuan dalam usaha memerangi dadah habis-habisan dengan Sandakan antara daerah yang mempunyai aduan tertinggi aktiviti terbabit. Operasi dilaksanakan hasil aduan awam selain risikan sejak sebulan lalu," katanya kepada media selepas operasi itu.

760 dibaca
Berita Harian X