Khamis, 26 Oktober 2017 | 4:05pm
ABDUL Rahman Arshad (kanan) mengunjungi Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Shah Alam pada Majlis Penyerahan Sumbangan Mesin Hemodialisis kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) di Wisma MAIS Seksyen 3. - Foto Faliq Lajim

Wakaf Selangor sumbang 6 mesin hemodialisis

SHAH ALAM: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) hari ini, menerima sumbangan enam mesin hemodialisis bernilai RM261,680 daripada Wakaf Selangor Muamalat bagi menggantikan mesin yang sudah uzur.

Sumbangan itu bagi kegunaan di dua pusat dialisis di bawah YIDE iaitu Pusat Dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Shah Alam dan Sungai Besar, yang masing-masing menerima tiga mesin selepas jangka hayat peralatan sedia ada sudah luput.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Wakaf Selangor Muamalat, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad berkata, pemberian mesin itu dibuat berikutan keperluannya yang mendesak.

"Memang banyak permintaan, tetapi kita melihat kepada keperluan pusat berkenaan, seterusnya kumpulan sasaran yang boleh menggunakan mesin berkenaan dan pengendalian mesin berkenaan yang diguna pakai dengan baik.

"Kami percaya kedua-dua pusat ini sangat memerlukannya berikutan mesin sedia ada perlu digantikan kerana jangka hayatnya sudah hampir luput," katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Mesin Hemodialisis kepada YIDE, hari ini.

Yang turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIDE, Ami Nardin Ishak.

Sementara itu, Nur Mohd Razali berkata, setiap mesin itu boleh menampung sehingga 12 pesakit seminggu dan pihaknya amat bersyukur dengan sumbangan yang diberikan untuk kegunaan orang awam.

"Setiap sesi di sini mengenakan caj RM150 bagi mana-mana orang awam yang mahu menggunakan mesin ini setiap hari antara Isnin hingga Sabtu.

"Setakat ini seramai 265 pesakit menggunakan perkhidmatan ini di enam pusat dialisis yang berpusat di Shah Alam, Kuala Selangor, Sungai Besar, Taman Melawati, Klang dan juga Bukit Jelutong.

"Kami juga menyediakan perkhidmatan pengangkutan secara percuma kepada pesakit agar rawatan dapat diberikan secara berterusan," katanya.

Pada masa sama, katanya, rawatan hemodialis di situ juga menerapkan pengisian rohani kepada pesakit melalui ceramah daripada penceramah jemputan.

Setiap mesin yang disumbangkan itu bakal menggantikan mesin yang sudah berusia lapan tahun dengan penggunaan tiga sesi hampir setiap hari.

Seramai 65 pesakit menerima rawatan di Shah Alam, manakala 47 lagi di pusat dialisis di Sungai Besar.

Berita Harian X