Jumaat, 27 Oktober 2017 | 1:19pm
DATUK Mohamed Hasnan (tiga kanan) menyerahkan cek bernilai RM5,000 kepada ibu tunggal Asnah Mustafa untuk pembinaan semula rumahnya yang musnah dalam kebakaran Julai lalu pada RM1RM sambil diperhatikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Wan Azlan Wan Ab Rahman (kanan) selepas majlis pecah tanah di tapak kediamannya di Wakaf Che Yeh.- Foto Nik Abdullah Nik Omar

Gaji rendah dapat rumah

KOTA BHARU: Sebanyak 20,000 unit Rumah Mesra FELDA akan dibangunkan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dalam tempoh empat tahun.

Pengerusi SPNB, Datuk Mohamed Hasnan Che Hussin, berkata program itu bermula tahun hadapan dengan pembinaan awal sebanyak 5,000 unit rumah.

Katanya, Rumah Mesra FELDA ini adalah inisiatif kerajaan membantu rakyat berpendapatan rendah, iaitu RM3,600 ke bawah layak memohon.

"SPNB bertanggungjawab melaksanakan arahan itu dan menyediakan rumah kepada mereka yang layak dan masih tiada rumah.

"Sebelum ini, SPNB menerima sebanyak 89, 405 permohonan melalui program Rumah Mesra Rakyat 1 Malaysia (RM1RM) dari seluruh negara dan sejumlah 47,294 permohonan sudah diluluskan.

"Setakat ini, 39,395 unit rumah sudah siap dibina manakala 12,535 permohonan masih dalam senarai menunggu dan akan diproses," katanya ketika ditemui media selepas majlis pecah tanah di tapak kediaman Asnah Mustafa yang menerima RM1RM di Wakaf Che Yeh, di sini.

BH sebelum ini melaporkan kisah Asnah, seorang ibu tunggal yang kediamannya terbakar Julai lalu.

Asnah turut menerima bantuan kewangan sebanyak RM5,000 daripada SPNB.

Mohamed Hasnan berkata program terbabit adalah usaha kerajaan yang mendahulukan rakyat demi memastikan kesejahteraan golongan sasaran terbela.

"Di Kelantan, sebanyak 11,135 permohonan RMR1M diterima dan sejumlah 6,777 permohonan sudah diluluskan," katanya.

767 dibaca
Berita Harian X