X
Jumaat, 27 Oktober 2017 | 5:19pm
KHORUNNISA Madiyoh menunjukkan gambar Allahyarham Megat Nordin ketika ditemui di rumahnya di Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
KHORUNNISA Madiyoh menunjukkan gambar Allahyarham Megat Nordin ketika ditemui di rumahnya di Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Hajat Megat Nordin rakam lagu baharu tidak kesampaian

KOTA BHARU: Hajat Allahyarham Megat Nordin untuk merakamkan lagu duet terbaharunya bersama Rahimah Rahim, tidak kesampaian.

Lagu terbaharu ciptaan Fauzi Nawawi itu sepatutnya dirakam tidak lama lagi selepas Megat Nordin, 55, kembali sihat namun perancangan itu tidak kesampaian apabila meninggal dunia, kira-kira jam 11.50 pagi tadi, akibat kanser hati tahap empat.

Komposer terkenal, Eddie Hamid, berkata lagu terbaharu arwah bersama Rahimah itu bertajuk Gelas Gelas Cinta.

Katanya, dia dan rakan seperjuangan yang lain juga terkilan kerana tidak sempat mengadakan program dikir amal Megat Nordin yang sepatutnya diadakan malam ini, di Pengkalan Chepa.

"Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah pada minggu lalu ketika datang ke Kelantan untuk melawatnya.

"Kami sempat meminta maaf dan ketika itu saya lihat arwah letih dan tidak berdaya, namun masih melayan sahabat yang datang melawat.

"Walaupun program dikir amal buatnya dibatalkan, kami akan teruskan dan menggantikannya dengan tabung kutipan amal buat keluarga arwah.

"Industri hiburan kehilangan seorang yang berbakat besar, terutama dalam seni dikir barat. Arwah sememangnya dihormati dan disegani kerana bakat dan personalitinya yang menyenangkan dalam kalangan artis," katanya ketika ditemui media selepas menziarah jenazah arwah Megat Nordin di rumahnya, di sini.

Sementara itu, isteri Allahyarham, Khorunnisa Madiyoh, 48, berkata Megat Nordin atau nama sebenarnya Nordin Yusof meninggal dunia pada tarikh ulang tahun kelahirannya.

Malah, hari ini sepatutnya rumah mereka dihadiri pelajar tahfiz sempena majlis kesyukuran dan ulang tahun arwah tetapi bertukar menjadi majlis tahlil.

"Majlis yang dirancang hari ini juga sepatutnya diadakan sebagai tanda kesyukuran selepas anak kedua kami, Ahmad Marzuki Nordin, 16, menjadi johan sebuah pertandingan nyanyian baru-baru ini.

Jenazah Megat Nordin akan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Kenali di sini, pada petang ini.

Berita Harian X