Sabtu, 28 Oktober 2017 | 6:14pm
DR Jamili (duduk, tengah) melepaskan anak penyu sempena Majlis Ulang Tahun Ke-40 Pewartaan Taman Pulau-Pulau Penyu di Pulau Selingan, di Sandakan, hari ini. - Foto Juzaimie Jazlan
DR Jamili (duduk, tengah) melepaskan anak penyu sempena Majlis Ulang Tahun Ke-40 Pewartaan Taman Pulau-Pulau Penyu di Pulau Selingan, di Sandakan, hari ini. - Foto Juzaimie Jazlan

Hampir 300,000 penyu mendarat

SANDAKAN: Taman Pulau-Pulau Penyu di sini merekodkan sebanyak 279,389 jumlah pendaratan dan bertelur bagi penyu hijau dan sisik dari 1979 hingga 2016.

Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais, berkata daripada jumlah itu, 130,862 mendarat di Pulau Selingan, 80,206 di Pulau Bakkungan Kecil sementara 68,321 lagi di Pulau Gulisaan, di sini.

Katanya,  jumlah pendaratan tertinggi pada 2011 iaitu sebanyak 15,219 sarang diikuti 2009 (14,042) dan 1991 sebanyak 13,045 sarang.

"Jumlah kutipan telur penyu di taman ini pula bagi 1979 hingga 2016 ialah 22,449,572 biji dengan jumlah tertinggi di Pulau Selingan, iaitu lebih 10 juta biji," katanya pada Majlis Ulang Tahun Ke-40 Pewartaan Taman Pulau-Pulau Penyu di Pulau Selingan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Maklrin Lakim dan Penguasa Taman Pulau-Pulau Penyu, Sukur Sukardi.

Dr Jamili berkata, jumlah anak penyu yang dilepaskan ke laut ialah 16,923,702 ekor membabitkan 15,829,841 anak penyu hijau dan 1,093,861 anak penyu sisik.

"Penyu yang mendarat dan bertelur di Taman Pulau Penyu turut ditanda dan berdasarkan data dari tahun 1981 hingga 2016, sebanyak 85,870 penyu telah ditandakan membabitkan 81,149 ekor penyu hijau dan 4,721 penyu sisik," katanya.

Pada majlis itu, turut diadakan ialah pelepasan anak penyu selain perasmian galeri Taman Pulau-Pulau Penyu bagi mempamerkan usaha pemuliharaan dan penguatkuasaan hidupan marin itu di taman berkenaan.

Diwartakan sebagai Taman Pulau-Pulau Penyu pada tahun 1964, sebanyak lapan pulau diisytihar sebagai Ladang Penyu iaitu Selingan, Gulisaan, Bakkungaan Kecil, Tegapil, Lankayan, Billean, Koyan-Koyan dan Nunukan.

INFO

* 1,740 hektar (18.2 hektar daratan) - luas Taman Pulau-Pulau Penyu

Berita Harian X