Isnin, 30 Oktober 2017 | 2:29pm
TIMBALAN Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Azman Mohd Yusof (tengah) bersama Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Datuk Prof. Dr. Ahmad Zubaidi A. Latif (tiga kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud (tiga kanan) bergambar bersama selepas merasmikan Simposium Kebangsaan Kanak-Kanak Berkeperluan Khas 2017 anjuran Fakulti Sains Sosial Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di UniSZA, Kampus Gong Badak, Kuala Nerus. - Foto Ghazali Kori

UniSZA mahu jadi hub kanak-kanak OKU

KUALA NERUS: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mempersiapkan langkah bagi menjadi hub kepada kanak-kanak Kelainan Upaya (OKU) di Pantai Timur pada tahun 2019 selaras dengan pembukaan Hospital Pengajar di institusi pengajian tinggi berkenaan.

UniSZA selaku universiti komuniti berharap supaya dengan langkah berkenaan, lebih ramai ibu bapa sedar mengenai kepentingan pendidikan khas kepada kanak-kanak OKU.

Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi Abd Latif, berkata dengan adanya hospital terbabit, UniSZA akan menyediakan pakar bagi membantu kanak-kanak OKU dan keluarga mereka terutamanya kepada ibu bapa yang tidak dapat mengenal pasti anak mereka tergolong dalam golong itu.

"Terdapat beberapa jenis OKU yang sukar untuk dikenal pasti oleh ibu bapa antaranya disleksia, autistik dan juga kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran. Justeru, ramai kanak-kanak OKU tidak didaftarkan dan mereka berkemungkinan tidak mendapat pendidikan khusus.

"Bagi memberi pendedahan dan penjagaan khusus, kanak-kanak OKU perlu dikenal pasti seawal pada usia lima tahun. Oleh itu, UniSZA akan memainkan peranan bagi memberi kesedaran terutamanya kepada ibu bapa untuk menangani masalah ini," katanya selepas Majlis Perasmian Simposium Kebangsaan kanak-kanak Berkeperluan Khas 2017, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Pembangunan Wanita , Keluarga dan Masyarakat, Azman Mohd Yusof.

Program selama dua hari itu turut membabitkan tenaga pengajar pendidikan khas, ibu bapa, kanak-kanak OKU dan pelajar OKU.

Simposium yang julung kali diadakan di UniSZA itu akan membincangkan mengenai keluarga pesakit OKU dan kaedah untuk mengendalikan golongan ini dalam kehidupan seharian.

368 dibaca
Berita Harian X