Selasa, 31 Oktober 2017 | 2:40pm
TAN Sri Joseph Pairin Kitingan (kiri) bersama Datuk Hajiji Noor (tengah) dan Mursidi Sapie (dua dari kanan) melawat pameran Persidangan Perancangan Negeri Sabah sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia 2017 di Kota Kinabalu, hari ini. Persidangan dirasmikan Datuk Hajiji Noor mewakili Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman. - Foto Mohd Adam Arinin

Rakyat terbuka beri pandangan

KOTA KINABALU: Kerajaan sentiasa prihatin, memberi peluang kepada rakyat mendapat maklumat tepat, pandangan berkaitan perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, memberi contoh rancangan pembangunan semula Tanjung Aru, di sini antara pelan pembangunan yang membabitkan masyarakat menyalurkan idea dan pandangan berkaitan.

"Saya dimaklumkan Pelan Tempatan Tanjung Aru Eco Development (TAED) melalui proses penyertaan awam yang meluas untuk memberi pandangan dan mengenai input pelan ini.

"Ini membuktikan kerajaan negeri prihatin, berikan peluang rakyat mendapat maklumat tepat dan pandangan membina dalam usaha membangunkan Tanjung Aru sebagai destinasi pelancongan terunggul," katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Perancangan Negeri Sabah sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia 2017, di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Hajiji Noor.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman dan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah Sabah, Mursidi Sapie.

Persidangan bertemakan Perancangan Melangkaui Kelaziman, Penyertaan Awam Ke Arah Bandar Raya Berdaya Huni di Sabah.

Musa berkata, kerajaan menggalakkan rakyat negeri ini memberikan pandangan berkaitan Pelan Struktur Sabah 2033 (PSS2033) yang diluluskan, tahun lalu.

Ia sebagai panduan pelbagai pihak untuk perancangan pembangunan di negeri itu sehingga 2033.

"Bagi saya, pelan ini amat menyeluruh dengan menggariskan dasar perancangan pembangunan fizikal dan sosial sebagai panduan kementerian dan agensi lain untuk tempoh 20 tahun akan datang.

"PSS2033 sebagai permulaan kukuh ke arah merealisasikan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mencapai Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Kerajaan amat menekankan penyertaan awam ke arah hala tuju mencapai status bandar raya berdaya maju," katanya.

Beliau berkata, kerajaan amat komited mencorak pembangunan berlandaskan keperluan rakyat dengan mentransformasi perkhidmatan awam untuk meningkatkan produktiviti.

Berita Harian X