Rabu, 8 November 2017 | 2:07pm

JHEAT diarah siasat sindiket wakaf al-Quran

KUALA TERENGGANU: Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) diarah menyiasat dan mengambil tindakan terhadap satu sindiket disyaki mengendalikan wakaf al-Quran dengan mengenakan bayaran tinggi.

Pengendali wakaf al-Quran tanpa kebenaran itu dikatakan mengenakan bayaran sehingga RM600 bagi setiap naskah al-Quran kepada orang ramai untuk diwakafkan.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas, Ghazali Taib, berkata bayaran dikenakan pengendali itu lebih tinggi jika dibandingkan dengan wakaf tanah yang dibuat berdasarkan perkiraan kaki persegi.

Beliau berkata, ahli sindiket itu menggunakan nama madrasah dan akademi pengajian al-Quran bertujuan mengumpul dana untuk kepentingan peribadi.

"Ahli sindiket terbabit mengelirukan umat Islam apabila mendakwa setiap al-Quran yang diwakafkan untuk diserahkan kepada madrasah tahfiz dan akademi pengajian Islam.

"Kerajaan negeri mengarahkan JHEAT menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap sindiket itu bagi mengelak penipuan menggunakan al-Quran dan kesucian Islam dikomersialkan bertujuan mengaut keuntungan perniagaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Ghazali yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Ajil, berkata demikian ketika mengulas viral di laman sosial dan aplikasi sembang mengenai kegiatan pihak tertentu menetapkan bayaran sehingga RM600 bagi setiap naskah al-Quran untuk diwakafkan di pusat pengajian Islam dan madrasah tahfiz, sejak akhir bulan lalu.

Katanya, berdasarkan Enakmen Wakaf Terengganu, kelulusan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) negeri diperlukan setiap pertubuhan dan individu yang menjalankan operasi wakaf di negeri ini.

"Aktiviti itu perlu dipantau secara serius bagi mengelakkan sistem wakaf diperkenalkan kerajaan dikomersialkan sindiket dan pihak tidak bertanggungjawab demi mengaut keuntungan mudah," katanya.

Berita Harian X