Rabu, 8 November 2017 | 4:15pm
DATUK Seri Mohamad Hasan.- Foto Iqmal haqim rosman

Bayaran khas RM2,000 untuk penjawat awam NS

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan hari ini mengumumkan pemberian bayaran khas RM2,000 kepada hampir 4,000 kakitangannya, melalui tiga kali pembayaran, bermula Disember ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata imbuhan itu dibuat bagi menghargai jasa dan khidmat mereka selama ini.

"Pembayaran pertama sebanyak RM500 akan dibuat pada Disember ini, RM500 lagi pada Januari depan manakala baki RM1,000 akan dibayar bersama gaji menjelang Aidilfitri tahun hadapan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO di sini, hari ini.

Beliau berkata, bayaran khas untuk tahun hadapan, sama seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada penjawat awam di seluruh negara dalam Bajet 2018, baru-baru ini.

Bagaimanapun, kakitangan kerajaan di Negeri Sembilan menerima tambahan imbuhan sebanyak RM500 melalui peruntukan di dalam Bajet 2017.

Mohamad berkata, bayaran itu membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM11 juta.

16347 dibaca
Berita Harian X