Khamis, 9 November 2017 | 8:08am
ANGGOTA Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah, menahan beberapa penagih dadah dalam operasi bersepadu dalam serbuan rumah ke rumah bagi membasmi penagih dadah di sekitar Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

Ambil dadah untuk bertenaga di dapur

KOTA KINABALU: Ambil dadah supaya bertenaga ketika bertugas di dapur.

Itu alasan seorang bekas tukang masak bagaimana dia mula terjebak dengan dadah selepas ditahan dalam serbuan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), malam tadi.

Lelaki berusia 28 tahun itu adalah antara 30 individu yang ditahan berkaitan dadah dalam operasi sekitar bandar raya ini bermula jam 9 malam oleh AADK Kota Kinabalu.

Selepas ditahan di kediaman keluarganya di Inanam kira-kira jam 11 malam, bekas tukang masak itu mendakwa mula mengambil dadah sejak tahun lalu kerana keperluan kerja dan menjadikannya lebih bertenaga.

''Pada asalnya saya mengambil dadah kerana keperluan tugas ketika masih bekerja sebagai tukang masak restoran mengikut syif. Apabila kerja syif malam, saya akan mengambil dadah untuk menjadikan badan lebih bertenaga.


ANGGOTA Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah, menahan beberapa penagih dadah dalam operasi bersepadu dalam serbuan rumah ke rumah bagi membasmi penagih dadah di sekitar Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

''Akhirnya, saya mula menjadi ketagih," katanya yang mengaku berhenti kerja selepas terbabit dalam kemalangan motosikal.

Sementara itu, Ketua AADK Kota Kinabalu, Lawrence Galleh, berkata selain Inanam operasi turut dijalankan di sekitar Likas membabitkan kerjasama beberapa agensi lain.

Katanya, operasi itu dijalankan hasil maklumat orang awam selain bertujuan membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.

''Dalam operasi ini, 30 orang ditahan dengan 15 daripada mereka termasuk seorang wanita positif dadah jenis syabu atau Methamphetamine.

''Semua mereka ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan akan direman selama 14 hari di bawah Seksyen 4 (1) (b) untuk siasatan lanjut,'' katanya.

Beliau berkata, operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi menangani masalah penagihan serta penyalahgunaan dadah khususnya di bandar raya ini.

4995 dibaca
Berita Harian X