Khamis, 9 November 2017 | 2:44pm
PENGERUSI Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai (tiga kanan) bersama pelaksana Cabaran Pengembaraan Kiulu kali ketiga pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Mohd Adam Arinin

Cabaran Pengembaraan Kiulu kembali lagi

KOTA KINABALU: Seramai 600 peserta dijangka menyertai Cabaran Pengembaraan Kiulu kali ketiga atau `3rd Kiulu Adventure Challenge 2017 di Pekan Kiulu, dekat sini, pada 3 Disember ini.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Joniston Bangkuai, berkata setakat ini sebanyak 450 penyertaan sudah diterima sebelum tarikh tutup 25 November ini.

Beliau berkata, pelbagai aktiviti lasak dan menarik diadakan sempena pengembaraan itu termasuk acara utama, iaitu larian dan berbasikal menyusuri Sungai Kiulu serta 'water rafting'.

"Apa yang menarik dan uniknya acara ini ialah peserta yang menyertai acara berbasikal sejauh 30 kilometer (km) serta larian (13km) akan menyusuri Sungai Kiulu, yang terkenal sebagai sungai bersih dan cantik di negara ini.

"Peserta berpeluang menikmati keindahan sungai itu dan melalui beberapa kampung di Kiulu, antaranya Kampung Ranap, Poturidong, Gamut, Ranau-Ranau dan Nolitang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu, Dr Edmon Guntis.

Kategori larian dan berbasikal terbuka kepada wanita serta lelaki dan veteran berusia 45 tahun ke atas, selain kumpulan. Pelepasan peserta akan diadakan di Rumah Tradisi Kiulu di Pekan Kiulu pada jam 6 pagi.

Sementara itu, Joniston berkata, pada hari yang sama, satu karnival mini akan diadakan di pekan Kiulu dengan pembabitan penduduk kampung yang akan menjual makanan dan minuman tradisi serta kraftangan.

"Dengan sokongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Lembaga Pelancongan Sabah serta Persatuan Pelancongan Kiulu, aktiviti ini antara usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan pelancongan luar bandar di negeri ini.

"Industri ini akan memberi peluang ekonomi kepada penduduk kampung dan Sabah keseluruhannya. Kita mahu menjadikan Kiulu sebagai destinasi eko-pelancongan yang unggul di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, industri pelancongan di Kiulu mula mendapat tempat dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara dengan kira-kira 40,000 pengunjung datang ke daerah itu sejak Januari hingga September tahun ini.

"Jumlah pengunjung itu menunjukkan peningkatan berbanding hanya 27,000 orang sepanjang 2016," katanya.

Berita Harian X