Jumaat, 10 November 2017 | 3:08pm
SETIAUSAHA Agung United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO) Datuk Donald Mojuntin mewakili Menteri Sains dan Teknologi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (tiga dari kanan) bersama-sama Pengetua sekolah SM St Michael Jennifer Asing (kanan) Pengerusi PIBG SM St Michael Datuk Philip Lasimbang (dua dari kiri) dan wakil MBOR Muhammad Shukri (tiga dari kiri) meninjau buku-buku yang telah dikumpul pada Majlis Penyampaian Sijil Pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) kepada sekolah SM St Michael kerana berjaya mengumpul buku lama terbanyak selepas berjaya mengumpul 42,617 buku yang telah diusahakan oleh pelajar-pelajar sekolah, guru-guru pihak PIBG serta komuniti setempat di Penampang. - Foto Edmund Samunting
SETIAUSAHA Agung United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO) Datuk Donald Mojuntin mewakili Menteri Sains dan Teknologi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (tengah) menyaksikan penyampaian sijil pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) daripada wakil MBOR Muhammad Shukri (empat dari kanan) kepada Pengetua sekolah SM St Michael Jennifer Asing (tiga dari kanan) dan Pengerusi PIBG SM St Michael Datuk Philip Lasimbang (tiga dari kiri) untuk recod sebagai pengumpul buku lama terbanyak selepas berjaya mengumpul 42,617 buku yang telah diusahakan oleh pelajar-pelajar sekolah, guru-guru pihak PIBG serta komuniti setempat di Penampang. - Foto Edmund Samunting

SM St Michael catat rekod kumpul buku lama

PENAMPANG: Sekolah Menengah (SM) St Michael di sini hari ini memecahkan rekod Malaysia Book Of Records 2017 (MBOR) apabila berjaya mengumpul 42,617 naskhah buku lama menerusi projek 'The Most Number of Old Books Collected'.

Pencapaian itu bukan saja berjaya mengetepikan rekod lama oleh Persatuan Srikandi Bestari, Johor, yang mengumpul 30,000 naskhah buku pada 2012, tetap turut melebihi sasaran 36,000 ditetapkan.

Majlis pengumuman kejayaan itu disaksikan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Pasok Momogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO), Datuk Donald Mojuntin yang mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau di sekolah terbabit.

Yang turut hadir, wakil MBOR, Muhammad Shukri dan Pengetua SM St Michael, Jennifer Asing.

Donald ketika membacakan ucapan Madius, berkata usaha sekolah itu adalah satu langkah bijak dan proaktif dalam meningkatkan amalan membaca dalam kalangan pelajar.

"Saya difahamkan usaha mengumpul buku ini dibuat secara kerjasama membabitkan 1,000 warga sekolah ini termasuk pelajar, guru dan ibu bapa, selain komuniti setempat.

"Idea projek ini tercetus berikutan keperluan untuk mengisi kekurangan buku yang ada di pusat sumber sekolah. Usaha ini juga sejajar penekanan Transformasi Nasional 50 (TN50) untuk meningkatkan sistem pendidikan negara.

"Salah satu penekanan TN50 yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah untuk meningkatkan sistem pendidikan negara sekali gus membentuk generasi muda yang mampu bersaing di peringkat global," katanya. 

Berita Harian X