Sabtu, 11 November 2017 | 12:28pm

1,529 kes denggi sejak awal tahun ini

KUANTAN: Sebanyak 1,529 kes demam denggi dilaporkan dalam tempoh 1 Januari hingga 5 November lalu, turun 983 kes atau 39.3 peratus daripada 2,502 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman, jumlah kes demam denggi mengakibatkan kematian juga turun sedikit berbanding tahun lalu iaitu enam kes berbanding tujuh kes sebelumnya.

Katanya, hingga 5 November lalu, daerah Kuantan terus mencatatkan kes tertinggi iaitu 859 kes, diikuti Temerloh (263 kes), Raub (85 kes), Maran (82 kes), Jerantut (60 kes), Bera (49 kes), Pekan (36 kes), Bentong (33 kes), Lipis (25 kes), Rompin (23 kes) dan Cameron Highlands (empat kes).

"Buat masa ini, secara umumnya di Pahang, satu kawasan wabak yang masih aktif dikesan iaitu di Taman Tas, di sini dan kerajaan negeri mewartakan kawasan penempatan penduduk ini sebagai kawasan berisiko tinggi kes wabak denggi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Operasi Gempur Aedes di Taman Tas, di sini, pagi tadi.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Abdul Manan Ismail.

Program anjuran Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), Jabatan Kesihatan Pahang dan Pejabat Daerah Kuantan, disertai kira-kira 1,000 penduduk, termasuk penduduk sekitar Taman Tas.

Selain gotong royong, penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 membabitkan pemeriksaan pembiakan nyamuk aedes di premis termasuk premis yang tidak berpenghuni turut diadakan.

Norol Azali berkata, premis yang didapati membiak nyamuk aedes akan dikenakan denda sebanyak RM500.

Katanya, program gempur Aedes dilaksanakan di kawasan itu berikutan lapan wabak sudah dilaporkan dengan membabitkan 100 kes sepanjang tahun ini.

"Program gotong royong ini diharapkan dapat memusnahkan tempat pembiakan jentik-jentik dan memberi kesedaran kepada penduduk mengenai kepentingan menjaga kebersihan kawasan kejiranan mereka bagi mengelak kes demam denggi daripada terus berlaku di kawasan ini," katanya.

Berita Harian X