X
Isnin, 13 November 2017 | 4:03pm
TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah (tengah) bersama Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye (kanan) serta Pengarah Eksekutif Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara, Ayop Salleh (kiri) merasmikan '5th Borneo Conference and Exhibition on Occupational Safety and Health' di Hotel Hilton, Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin
TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah (tengah) bersama Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye (kanan) serta Pengarah Eksekutif Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara, Ayop Salleh (kiri) merasmikan '5th Borneo Conference and Exhibition on Occupational Safety and Health' di Hotel Hilton, Kota Kinabalu. - Foto Izhari Ariffin

Tingkatkan keselamatan sektor pelancongan

KOTA KINABALU: Pengusaha pelancongan dan majikan disaran bekerjasama dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk mencipta protokol keselamatan yang boleh diguna pakai dalam sektor pelancongan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Raymond Tan Shu Kiah, berkata ini kerana sektor pelancongan adalah industri yang berkembang di Sabah, sekali gus perlu diberi perhatian khususnya dalam aspek keselamatan.

Katanya, aspek keselamatan bukan hanya penting kepada pekerja dan pihak yang terbabit dalam industri pelancongan tetapi juga pelancong.

"Dalam aspek keselamatan, kita tidak boleh berkompromi dan ia perlu diberi perhatian sebelum membawa pelancong ke mana-mana di negeri ini.

"Oleh kerana NIOSH banyak mengadakan latihan atau kursus, pengusaha boleh mendapatkan nasihat atau garis panduan berkaitan protokol keselamatan yang perlu diambil dalam sektor pelancongan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Borneo (BOSH) 2017 di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye.

Seramai 500 peserta dari Sabah dan Sarawak menyertai persidangan BOSH 2017 dengan tema 'Meningkatkan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Untuk Daya Saing Perniagaan.

Persidangan itu antara lain mengupas tajuk berkaitan sistem pengurusan KKP, Pelan Induk KKP, perlindungan keselamatan sosial serta pelbagai isu berkaitan KKP dan kepentingannya dalam pembangunan industri di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Lam Thye berkata, NIOSH mengadakan beberapa program perintis untuk membantu pengusaha pelancongan di Sabah.

"NIOSH turut bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkaitan aspek keselamatan dalam sektor pelancongan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Lam Thye berkata, kes kemalangan industri atau perusahaan di Sabah meningkat dalam tempoh lima tahun ini, iaitu sebanyak 1,117 kes pada tahun lalu berbanding 1,029 pada tahun 2012.

"Begitu juga kemalangan pergi dan balik ke tempat kerja yang menunjukkan peningkatan iaitu 528 kes pada tahun 2016 berbanding 377 kes pada 2012. Jumlah ini meningkat 40 peratus," katanya.

Berita Harian X