Selasa, 14 November 2017 | 12:43pm
KETUA Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye (kiri) menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada anggota polis semasa menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL), Georgetown. - Foto Rudy Syareme Sheriffudin

Polis perkemas SOP

GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang melakukan penambahbaikan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai persediaan awal menghadapi banjir gelombang kedua.

Ketua Polis negeri, Datuk Wira Chuah Ghee Lye, berkata penambahbaikan itu bagi menyelamatkan aset penting kerajaan seperti maklumat yang disimpan di dalam komputer dan kenderaan polis.

"Saya akan mengkaji semula bencana banjir kilat yang berlaku baru-baru ini, dan menilai dari segi kepincangan serta kekangan yang dihadapi oleh pasukan.

"Kita akan arahkan pasukan bagi melakukan pergerakan awal apabila amaran bencana dikeluarkan, termasuk dengan memindahkan kenderaan polis dari balai polis yang berisiko terjejas ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen memandangkan tidak terjejas teruk," katanya ketika ditemui pemberita selepas penyerahan sumbangan kepada mangsa banjir di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, hari ini.

Difahamkan, penambahbaikan itu dilakukan berikutan sebanyak 66 kenderaan polis terdiri daripada 28 kereta peronda dan 38 motosikal Unit Rondaan Bermotosikal mengalami kerosakan akibat ditenggelami banjir.

Ghee Lye berkata, dalam persediaan menghadapi gelombang kedua juga, masyarakat perlu melakukan persiapan awal, khususnya kepada penjaga warga emas di pusat penjagaan.

"Saya menasihatkan kepada penjaga warga emas supaya memindahkan segera golongan itu ke tempat yang lebih selamat, sekiranya amaran bencana dikeluarkan. Ia bagi mengelak kejadian yang meragut nyawa seperti baru-baru ini" katanya.

Sementara itu, seramai 53 pegawai dan anggota polis yang turut terjejas dalam banjir baru-baru ini, menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan barang makanan.

254 dibaca
Berita Harian X