Selasa, 14 November 2017 | 4:04pm
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron.
KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Kejayaan Melaka jadi tumpuan persidangan di Jerman

AYER KEROH: Persidangan Negara-Negara Ahli (COP) ke-23 di Bonn, Jerman menyaksikan Melaka menjadi perhatian dunia berikutan kejayaan melaksanakan pembangunan berasaskan teknologi hijau.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata sebagai negeri mewakili Malaysia pada persidangan itu, Melaka menjadi tumpuan peserta terdiri daripada pemimpin bandar raya terkemuka dunia, terutama ketika pembentangan kertas kerja berkaitan teknologi hijau.

Katanya, ia sekali gus membuktikan negeri ini yang membawa nama Malaysia pada persidangan berkenaan, bukan saja dihormati pemimpin bandar raya dunia, malah turut dijadikan rujukan dan panduan peserta, termasuk dari beberapa negara membangun dan maju.

"Alhamdulillah, saya juga gembira dan berbangga apabila diminta berkongsi pengalaman bagaimana Melaka berjaya dipilih bekerjasama dengan Asian Development Bank (ADB) dan Danish Energy Management Unit.

"Kerjasama itu bagi melaksanakan program pertukaran lampu sodium tekanan tinggi kepada lampu diod pancaran cahaya (LED)," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Melaka, di sini hari ini.

Selain itu, katanya, beliau berkongsi kejayaan Melaka) dalam pengurusan tenaga dengan penjimatan 40 peratus melalui program penjanaan tenaga bangunan, iaitu sembilan bangunan kerajaan dipilih untuk melaksanakannya.

Idris berkata, anggota Kesatuan Eropah (EU) juga berminat mengetahui bagaimana Melaka memulihara sungai yang dulunya jijik dan kotor kepada sungai yang bersih dan cantik serta menjadi mercu tanda negeri hari ini.

Beliau turut menyampaikan ucaptama bertajuk Strategi Pembangunan Emisi Rendah (LEDS) di Melaka sempena Pelaksanaan 'Nationally Determined Contributions' (NDC) di Asia dan Persidangan Antarabangsa Bagi Inisiatif Alam Sekitar Tempatan (ICLEI) di Bonn.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan komitmen Melaka yang serius dan komited terhadap usaha pengurangan karbon, selain menetapkan sasaran pengurangan karbon tanpa syarat serta bersedia melakukan apa saja bagi menjayakannya.

Berita Harian X