Rabu, 15 November 2017 | 4:05pm
PENGARAH Kesihatan Negeri Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail (kanan sekali) diiringi Pengarah Hospital Langkawi (HL), Dr Mansor Ismail (dua dari kanan) melakukan gimik perasmian Karnival Katarak sempena Sambutan Ulang Tahun 102 Hospital Langkawi. - Foto Hamzah Osman
PENGARAH Kesihatan Negeri Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail (kanan sekali) diiringi Pengarah Hospital Langkawi (HL), Dr Mansor Ismail (dua dari kanan) melakukan gimik perasmian Karnival Katarak sempena Sambutan Ulang Tahun 102 Hospital Langkawi. - Foto Hamzah Osman

Pembedahan katarak percuma

LANGKAWI: Seramai 50 pesakit yang mengalami masalah katarak menerima manfaat pembedahan percuma, melalui Karnival Katarak yang diadakan pada sambutan Ulang Tahun ke-102 Hospital Langkawi.

Semua pesakit majoritinya warga emas akan dirawat enam doktor pakar sepanjang tempoh tiga hari karnival berlangsung bermula hari ini, anjuran Hospital Langkawi dan Kelab Rotary Langkawi.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata sebahagian besar daripada 50 pesakit katarak yang dipilih menjalani pembedahan dari kumpulan kurang mampu dan lanjut usia.

"Penganjuran karnival ini memberi kelebihan kepada pesakit katarak di daerah ini kerana mereka tidak lagi perlu menunggu sehingga enam bulan untuk mendapatkan giliran bagi menjalani pembedahan di hospital.

"Selain membawa enam doktor pakar, kita turut menyediakan dua pakar bius yang akan mengendalikan pembedahan untuk memastikan pesakit katarak mendapat rawatan terbaik dan segera, seterusnya menjalani kehidupan lebih sempurna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Katarak di pekarangan Hospital Langkawi, di sini.

Yang turut hadir ialah Ketua Jabatan Oftalmologi Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Datuk Dr Haslina Mohd Ali dan Pengarah Hospital Langkawi, Dr Mansor Ismail.

Dr Norhizan berkata, untuk tujuan pembedahan melalui karnival berkenaan, 18 kanta untuk kegunaan pesakit disumbangkan Kelab Rotary Langkawi, manakala baki diperoleh menerusi program titik sentuh Kementerian Kesihatan.

"Penyakit katarak ini masalah kebutaan yang boleh dirawat. Antara faktor yang menyebabkan penyakit ini kebiasaannya disebabkan faktor usia tua, kencing manis atau trauma.

"Kita yakin individu yang menjalani pembedahan katarak ini terutamanya warga emas, akan dapat meningkatkan kualiti hidup mereka apabila penglihatan semakin jelas serta dapat urus diri dengan lebih baik," katanya.

Berita Harian X