Rabu, 15 November 2017 | 8:47pm
PENGERUSI Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa (empat kiri duduk) dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) Datuk Mohd Shukri Dahlan (tiga kanan duduk), bergambar bersama penerima sumbangan dana pada Majlis Persidangan Pertubuhan Islam Kerajaan Negeri Selangor dan Penyerahan Dana NGO-i (MAIS) 2017 di Hotel Concorde Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
PENGERUSI Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa (empat kiri duduk) dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO-i) Datuk Mohd Shukri Dahlan (tiga kanan duduk), bergambar bersama penerima sumbangan dana pada Majlis Persidangan Pertubuhan Islam Kerajaan Negeri Selangor dan Penyerahan Dana NGO-i (MAIS) 2017 di Hotel Concorde Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

RM2.26j zakat Selangor sudah diagih

SHAH ALAM: Majlis Agama Selangor Islam (MAIS) sudah mengagihkan kira-kira RM2.26 juta peruntukan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi tahun 2017.

Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata jumlah berkenaan diagihkan termasuk kepada pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGO-i), asnaf riqab dan warga emas serta anak yatim.

Katanya, sumbangan dana sebanyak RM910,000 disalurkan kepada 72 NGO-i yang berdaftar di bawah MAIS.

"Setiap NGO-i menerima sumbangan dana antara RM10,000 sehingga RM20,000 menerusi aktiviti dakwah yang dijalankan.

"Sumbangan dana bagi tahun 2017 ini bertujuan memperkasakan dakwah NGO-i dan membangunkan sahsiah umat Islam.

"Antara NGO-i yang menerima sumbangan adalah Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) sebanyak RM10,000, Persatuan Sukarelawan lslam Hospital Selangor (SAHABAT) yang menerima RM15,000, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia Negeri (PEMADAM) Selangor (RM15,000) dan Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor (RM20,000)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan dan Majlis Serahan Bantuan Dana NGO-i Negeri Selangor 2017, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan NGO-i, Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Mohamad Adzib berkata, tahun lalu, sejumlah RM875,000 sumbangan dana diberikan kepada 50 NGO-i berdaftar dengan MAIS menerusi peruntukan asnaf fisabilillah LZS.

"Tahun ini NGO-i yang berdaftar dengan MAIS meningkat daripada 50 kepada 72.

"Peningkatan ini menunjukkan bahawa NGO-i di Selangor komited dalam melaksanakan tanggungjawab dakwah kepada bukan Islam atau gerakan ajaran sesat yang berleluasa di negeri ini," katanya.

Pada majlis sama, MAIS turut menyampaikan sumbangan Geran Sukuan Keempat kepada Rumah Perlindungan Al Riqab (RPA) sebanyak RM914,180 kepada 16 buah rumah perlindungan berkenan dan Geran Tahunan Rumah Kebaikan Perlindungan Anak Yatim sebanyak RM315,000 kepada lapan buah rumah anak yatim.

"Sumbangan ini menggunakan peruntukan Asnaf Al Riqab dan Asnaf Fisabilillah LZS.

"MAIS turut memberi sumbangan Bantuan Dana Rumah Kebajikan sebanyak RM120,000 kepada lima rumah kebajikan khusus untuk warga emas," katanya.

Berita Harian X