Khamis, 16 November 2017 | 4:44pm
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kanan) berbincang sesuatu bersama Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail'. - Foto Sharul Hafiz Zam

Projek mega sumbang 500 juta hasil Kedah

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah menerima manfaat besar hasil pelaksanaan tiga projek mega, khususnya dengan pendapatan baharu melalui hasil cukai melebihi RM500 juta.

Selain projek Rubber City di Padang Terap, dua lagi projek meliputi pembangunan Bandar Bebas Cukai (BBC) serta Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) di Bukit Kayu Hitam di Kubang Pasu.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail, berkata manfaat lebih RM500 juta itu diterima Kedah melalui hasil cukai.

Katanya, cukai dibayar bukan sahaja kepada kerajaan negeri, tetapi juga pihak berkuasa tempatan (PBT) kawasan projek terbabit.

"Untuk Bandar Bebas Cukai, nilai cukai dijangka dikutip adalah RM352.48 juta, meliputi RM336.78 juta kepada kerajaan negeri dan baki RM15.7 juta lagi oleh Majlis Daerah Kubang Pasu.

"Jumlah itu tidak termasuk RM81.35 juta pendapatan cukai melalui KSTP yang dikutip kerajaan negeri dan PBT sama.

"Bagi projek Rubber City pula, pendapatan cukai bagi kerajaan negeri dianggar RM61.9 juta dan Majlis Daerah Padang Terap pula RM13.8 juta dengan nilai keseluruhan RM76 juta," katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Ahmad Lebai Sudin (BN-Bukit Lada) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Katanya, selain pendapatan baharu melalui kutipan cukai projek mega, kedudukan kewangan negeri turut diperkukuhkan melalui caj bayaran komitmen dikenakan kepada projek pembangunan di Kedah bermula 2016 sebagai hasil baharu.

"Oleh kerana banyak bakal pelabur datang dengan pelbagai bentuk cadangan dan kerajaan negeri meluangkan banyak masa dan tenaga, sedangkan selepas dua atau tiga tahun projek berkenaan tak jadi, kita kenakan bayaran komitmen kepada pelabur.

"Ini (bayaran komitmen) bukan nak bebankan pelabur, tetapi nak tentukan mereka betul-betul serius. Ia berhasil apabila kita terima RM10 juta bayaran komitmen daripada pelabur pada 2016.

"Untuk 2017 sehingga kini, kita dapat RM7.955 juta dengan RM10 juta lagi dianggar dikutip pada 2018," katanya.

Kepasa soalan lisan Mohd Azam Abd Samat (PAS-Sungai Limau) berhubung pendapatan hasil caj bekalan air mentah kepada Pulau Pinang, Ku Abdul Rahman berkata, ia tidak dimasukkan dalam Bajet Kedah 2018.

"Ini kerana kedudukannya masih belum dimuktamadkan. Untuk pampasan pemuliharaan hutan negeri sebanyak RM39 juta, kita sedang mengusahakannya dengan Kerajaan Pusat.

"Ia juga dibangkitkan kepada Datuk Seri Najib Razak, ketika mesyuarat bersama kerajaan negeri sewaktu lawatan Perdana Menteri ke Kedah baru-baru ini.

"Kita positif pampasan itu akan diluluskan dan berharap nilainya juga bertambah kerana RM39 juta adalah nilai yang dibangkitkan ketika ia mula disebut pada 2003," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Amiruddin Hamzah (PAS-Anak Bukit), beliau berkata, kerajaan negeri mengakui potensi Kedah sebagai hab automotif mampu terus dilonjak, terutama dengan kemampuan pemain utama industri di Gurun serta Padang Meha di Kulim untuk terus mengembangkan operasi masing-masing.

Berita Harian X