Khamis, 16 November 2017 | 6:14pm

Lagi gajah mati ditembak

TAWAU: Bangkai seekor gajah ditemui dengan tiga kesan tembakan di Ladang Cenderamata, Jalan Merotai-Kalabakan, dekat sini.

Gajah jantan dengan ketinggian 2.7 meter itu yang dipercayai ditembak pemburu haram, ditemui pekerja ladang terbabit kelmarin, sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata pihaknya kini menjalankan siasatan berhubung insiden itu.

"Gajah terbabit mungkin ditembak di tempat lain, sebelum mati di tempat ia ditemui.

"Ketika dijumpai, gading gajah masih ada dan bedah siasat kemudian menemui tiga peluru pada bangkai gajah," katanya ketika dihubungi di sini.

Augustine berkata, pihaknya kini berusaha mengesan suspek yang menembak gajah berkenaan.

"Kita berusaha mencari saksi yang melihat suspek menembak gajah atau mungkin dapat memberi maklumat mengenai suspek," katanya.

September lalu, dua bangkai gajah Pygmy Borneo dengan satu daripadanya dipercayai dibunuh pemburu haram bagi mendapatkan gadingnya ditemui di lokasi berasingan di Tawau dan Kinabatangan.

Kes pertama membabitkan penemuan bangkai anak gajah jantan pada 10 September di Dumpas, Tawau.

Bangkai gajah kedua ditemui di Sungai Kinabatangan dua minggu kemudian, dipercayai angkara dibunuh pemburu haram berikutan gadingnya dipotong, sebelum bangkai haiwan berkenaan dibuang ke sungai.

Awal Ogos lalu, seekor gajah betina ditemui mati dengan kesan tembakan dalam sebuah ladang sawit berhampiran Hutan Simpan Malua dekat Kinabatangan.

366 dibaca
Berita Harian X