Jumaat, 17 November 2017 | 3:19pm
BANGKAI gajah jantan yang ditemui dengan kesan tembakan di Ladang Cenderamata, Jalan Merotai-Kalabakan, Tawau. - Foto Ihsan Jabatan Hidupan Liar

Ditembak guna senapang patah

TAWAU: Gajah jantan yang ditemui mati dengan kesan tembakan di Ladang Cenderamata, dekat sini, Khamis lalu, dipercayai ditembak menggunakan senapang patah.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata berdasarkan bedah siasat terhadap haiwan liar terbabit, pihaknya mendapati peluru yang digunakan ialah jenis penabur (slug) dan siasatan juga mendapati ia mati kira-kira 48 jam sebelum bangkainya ditemui.

"Kita tak pasti sama ada senapang patah digunakan berlesen atau tidak, tetapi peluru jenis 'slug'. Siasatan masih diteruskan untuk mencari saksi yang mempunyai maklumat berkaitan suspek," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan bangkai seekor gajah jantan ditemui dengan tiga kesan tembakan di Ladang Cenderamata, terletak antara Jalan Merotai-Kalabakan, dekat sini.

Gajah dengan ketinggian 2.7 meter itu yang dipercayai ditembak pemburu haram ditemui pekerja ladang terbabit pada Selasa lalu, sebelum memaklumkannya kepada Jabatan Hidupan Liar.

Difahamkan, senapang buatan sendiri jenis bakakuk yang memiliki keupayaan hampir sama dengan senapang patah sebenar, biasanya digunakan pemburu haram untuk tujuan berburu di hutan di negeri ini.

Senjata itu yang digunakan secara turun-temurun untuk memburu binatang serta menjaga tanaman turut menggunakan peluru yang sama, iaitu jenis penabur.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din meminta orang awam agar tidak menyimpan bakakuk kerana penyimpanan dan pemilikan senjata tidak berlesen itu haram, dengan pemiliknya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya serius bagi membendung pelbagai kes jenayah atau kematian akibat kecuaian yang berkaitan dengan penggunaan senjata berkenaan dengan meningkatkan usaha membanteras pemilikan secara haram bakakuk, sama ada bagi tujuan memburu atau mempertahankan diri.

Kes pembunuhan gajah terbabit yang terbaharu di negeri ini selepas dua bangkai gajah Pygmy Borneo dengan satu daripadanya dipercayai dibunuh pemburu haram bagi mendapat gadingnya ditemui di tempat berasingan di Tawau dan Kinabatangan, September lalu.

Berita Harian X