Jumaat, 17 November 2017 | 6:57pm
KETUA Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman bersama timbalan-timbalannya Tan sri Joseph Pairin Kitingan (dua dari kiri) Datuk Seri Yahya Husin (kiri) dan Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah, menunjukkan Buku Bajet Negeri Sabah 2018 pada Pembentangan Bajet Negeri Sabah di Dewan Undangan Negeri Sabah, Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

Sabah bentang bajet RM4.1 bilion

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini membentangkan Bajet 2018 berjumlah RM4.1 bilion sejajar dengan unjuran pertumbuhan ekonomi antara lima hingga 5.5 peratus dan anggaran hasil sebanyak RM4.169 bilion pada tahun depan.

Bajet bertema 'Memperkasakan Ekonomi, Mensejahterakan Rakyat' itu mencatat lebihan RM64.89 juta, menjadikannya bajet lebihan keempat dibentangkan kerajaan negeri sejak tahun 2015.

Jumlah bajet yang disediakan pada tahun depan turut menyaksikan peningkatan ketara berbanding Bajet 2017 berjumlah RM3.784 bilion.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata bajet itu merangkumi RM763.6 juta peruntukan untuk emolumen, diikuti perbelanjaan berulang (RM1.3 bilion) dan perbelanjaan khas (RM2.03 bilion), manakala RM1.09 bilion lagi untuk perbelanjaan pembangunan.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan menerima agihan peruntukan tertinggi dengan RM1.77 bilion untuk perbekalan dan RM16 juta lagi untuk pembangunan, diikuti Kementerian Pembangunan Infrastruktur dengan peruntukan perbekalan sebanyak RM698.2 juta, manakala RM260.5 juta untuk pembangunan.

"Program pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam akan terus menjadi tumpuan dan agenda utama kerajaan bagi memperkukuhkan ekonomi negeri, selain memastikan kebajikan dan kesejahteraan di seluruh negeri pada tahap yang lebih selesa dan berkualiti.

"Kita sedar, penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas seperti jalan raya, jambatan, bekalan air terawat dan sistem pembetungan perlu diambil perhatian kerana ia tunjang kemajuan pembangunan sektor lain seperti pertanian, pelancongan dan perindustrian," katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Musa yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata menerusi Bajet 2018, kerajaan negeri memperuntukkan RM1.33 bilion untuk menyedia dan meningkatkan lagi kemudahan infrastruktur serta prasarana awam di seluruh negeri.

Sementara itu, Musa berkata, Sabah mencatat prestasi ekonomi yang memberangsangkan dengan mencatat pertumbuhan 25 peratus dalam tempoh 2011 hingga 2016.

Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) merekodkan peningkatan sangat memberangsangkan daripada RM59.3 bilion pada tahun 2011 kepada RM73.8 bilion pada 2016, menjadikan ekonomi Sabah pada kedudukan kelima tertinggi berbanding negeri lain di Malaysia.

"Selain itu, pendapatan per kapita negeri menunjukkan peningkatan 7.3 peratus daripada RM19,648 pada tahun 2011 kepada RM21,081 pada tahun 2016," katanya.

Beliau berkata, sektor perkhidmatan adalah penyumbang terbesar kepada ekonomi negeri dan menyumbang sebanyak 40.8 peratus kepada jumlah KDNK negeri pada tahun lalu.

Katanya, sektor itu menunjukkan peningkatan sebanyak 31.3 peratus sumbangannya kepada KDNK negeri dalam tempoh lima tahun lalu.

INFO

Bajet Negeri Sabah 2018

* RM73.8 bilion KDNK Sabah pada tahun 2016

* 5 hingga 5.5 peratus unjuran ekonomi Sabah 2018

* RM4.169 bilion unjuran hasil Sabah 2018

* RM64.89 juta lebihan Bajet Sabah 2018

Berita Harian X