Sabtu, 18 November 2017 | 3:40pm
SEBAHAGIAN orang ramai yang hadir memeriahkan Majlis Perasmian Lebuhraya Pan Borneo Pakej Putatan-Inanam di Putatan. - Foto Mohd Izham Unnip
SEBAHAGIAN orang ramai yang hadir memeriahkan Majlis Perasmian Lebuhraya Pan Borneo Pakej Putatan-Inanam di Putatan. - Foto Mohd Izham Unnip

10,000 orang sambut PM di Putatan

[email protected]

PUTATAN: Kira-kira 10,000 orang menyambut kehadiran Datuk Seri Najib Razak yang tiba di pekarangan Dewan Sri Putatan, di sini, sebentar tadi bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Lebuhraya Pan Borneo Pakej Putatan - Inanam.

Perdana Menteri tiba pada jam 2.40 petang tadi dengan diiringi Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Yahya Hussin; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ahli Parlimen Putatan, Datuk Dr Marcus Makin Mojigoh.

Pakej Lebuhraya Pan Borneo dari Putatan ke Inanam sepanjang 19.6 kilometer membabitkan kos pembinaan RM900 juta adalah sebahagian jajaran merentasi bandar raya Kota Kinabalu atau dikenali Jalan Pesisir Luar Kota Kinabalu.

Jajaran itu membabitkan kerja menaik taraf jalan daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala, selain pembinaan tiga jambatan baharu, iaitu Jambatan Sungai Moyog 1, 2 dan 3, dua jejantas pejalan kaki, 10 persimpangan U dan empat perhentian bas.

Jalan itu bakal menyediakan akses perhubungan darat yang selesa dan cekap kepada kira-kira 700,000 penduduk sekitar ibu negeri, selain merancakkan pertumbuhan ekonomi setempat menerusi pembukaan kawasan baharu.

Ia turut disasar memudahkan urusan logistik dan pasaran hasil pertanian di Inanam serta melonjakkan aktiviti pelancongan di Putatan selaras usaha kerajaan menggalakkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua sektor itu di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Berita Harian X