Sabtu, 18 November 2017 | 6:49pm
BMM i8 yang dibawa khas Auto Bavaria bagi menunaikan hasrat Muhd Hafizzudin. - Foto Nor Farhani Che Ad
BMM i8 yang dibawa khas Auto Bavaria bagi menunaikan hasrat Muhd Hafizzudin. - Foto Nor Farhani Che Ad

Auto Bavaria penuhi impian kanak-kanak kanser otak

SUNGAI PETANI: Keinginan Muhd Hafizzudin Alias, 11 yang menghidap kanser otak tahap empat menaiki kereta mewah BMWi8 tertunai apabila kanak-kanak itu dibawa bersiar-siar dengan kenderaan itu yang didatangkan khas oleh Auto Bavaria, kumpulan pengedar terbesar BMW di negara ini.

"Nak naik eta (kereta) putih," itulah permintaan yang sering dinyatakan oleh Muhd Hafizzudin.

Ayah kanak-kanak itu, Alias Saleh, 43, berkata mereka sekeluarga gembira apabila pihak Auto Bavaria sudi memenuhi keinginan anaknya yang sudah sebulan terlantar.

"Dia mula menyatakan hasrat menaiki kereta BMW berwarna putih pada bulan September lalu ketika mengikuti program bersama anak-anak kanser yang lain, yang ketika itu turut disertai salah sebuah kelab jenama kereta mewah itu.

"Saya terharu apabila impiannya itu dipenuhi oleh Auto Bavaria sendiri sekali gus memberi semangat buat Hafizzudin dan kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Baru, Sungai Lalang, di sini, sebentar tadi.

Alias berkata, anaknya itu mempunyai minat mengumpul koleksi kereta mainan sejak berusia enam tahun dan memiliki lebih 20 koleksi kereta mainan.

Katanya, Muhd Hafizzudin adalah seorang yang aktif sebelum disahkan mengidap kanser otak ketika berusia tujuh tahun.

"Sejak usianya empat tahun dia sering mengalami muntah dan mengadu sakit kepala, bagaimanapun pemeriksaan doktor tidak mengesan penyakit kanser yang dihadapinya.

"Dia disahkan mengidap kanser otak tahap dua ketika berusia tujuh tahun.

"Keadaan Hafizzudin kini semakin lemah dan dia tidak mampu menguruskan dirinya sendiri selain terpaksa makan dan minum menggunakan tiub," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemasaran Auto Bavaria, Yasmin Shaharil, berkata pihaknya berbesar hati dapat memenuhi keinginan kanak-kanak itu.

Katanya, dalam kunjungan itu pihaknya turut menghulurkan sumbangan berupa barang keperluan seperti lampin pakai buang, bijirin, susu, buah-buahan dan kipas selain bantuan wang tunai dan juga kereta replika BMW i8.

Berita Harian X