Ahad, 19 November 2017 | 1:52pm
PRESIDEN Parti Bersatu Sabah (PBS), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bersalaman dengan ahli ketika hadir pada Persidangan Perwakilan Ke-32 parti itu, di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun, Penampang, hari ini. - Foto Izhari Ariffin

Bersatu teruskan perjuangan PBS - Pairin

PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) mengingatkan ahlinya supaya terus bersatu meneruskan semangat perjuangan parti itu dalam menghadapi cabaran politik masa kini dan akan datang.

Presidennya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, berkata kesatuan parti sangat penting dalam memastikan PBS terus bertahan dan kekal sebagai rakan komponen Barisan Nasional (BN) yang penting di Sabah.

"Sebagai ahli PBS, kita harus terus bersemangat dalam perjuangan agar dapat menghadapi apa saja cabaran.

"Apa yang penting, kita perlu sentiasa bersatu demi masa depan kita," katanya dalam ucapan alu-aluannya sebelum Persidangan Perwakilan Ke-32 parti itu, di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Naib Presiden PBS, Datuk Dr Yee Moh Chai dan Setiausaha Agung PBS, Datuk Johnny Mositun.

Kira-kira 600 perwakilan daripada 56 bahagian di seluruh negeri, ketua bahagian dan ahli majlis tertinggi PBS hadir pada persidangan berkenaan.

Semalam, Pairin menyuarakan harapan parti itu sepanjang perjuangan selama 32 tahun dalam arena politik Sabah termasuk berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ketika majlis perasmian Kongres PBS Ke-32 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Persidangan kali ini adalah yang terakhir bagi Pairin berikutan hasratnya untuk bersara selepas pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang sebelum menyerahkan kepemimpinan kepada Maximus yang kini turut memangku jawatan presiden parti itu.

Terdahulu, Mositun berkata, PBS akan memastikan 13 kerusi DUN yang diperuntukkan kepada parti itu dapat dipertahan dan ditawan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang dijangka diadakan tahun depan.

"Semua bahagian sudah bersedia untuk memastikan kemenangan kita di semua kerusi berkenaan termasuk merampas semula kerusi yang kita kalah pada pilihan raya sebelum ini," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 2013, PBS kalah di kerusi DUN Inanam, Tamparuli, Matunggong, Kadamaian, Sri Tanjong dan Api-Api selain di Parlimen Kota Kinabalu.

Parti itu menang di kerusi DUN Tanjung Aru, Tambunan, Melalap, Kiulu, Kundasang, Tandek, dan Labuk, selain empat kerusi Parlimen iaitu di Keningau, Kota Marudu, Batu Sapi dan Tawau.

317 dibaca
Berita Harian X