Isnin, 20 November 2017 | 1:52pm
GRADUAN dari Tanzania, Hairuni Habibu, menamatkan pengajiannya di Falkuti Komputeran dan Informatik Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Teknologi Multimedia) pada Majlis Konvokesyen Ke-19 Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin
GRADUAN dari Tanzania, Hairuni Habibu, menamatkan pengajiannya di Falkuti Komputeran dan Informatik Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Teknologi Multimedia) pada Majlis Konvokesyen Ke-19 Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Kota Kinabalu. - Foto Mohd Adam Arinin

UMS beri pengalaman berharga buat graduan Tanzania

KOTA KINABALU: Perbezaan bahasa dan budaya serta terpisah jauh beribu kilometer dengan keluarga, tidak menghalang graduan antarabangsa dari Tanzania, Hairuni Habibu, 26, menamatkan pengajian selama lima tahun di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Penerima Ijazah Sarjana Muda Sains Dengan Kepujian (Teknologi Multimedia) Fakulti Komputeran dan Informatik itu adalah antara 849 graduan yang menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-19 hari ini.

Hairuni berkata, pengajiannya di UMS Kampus Labuan banyak memberikan pengalaman baharu buat dirinya, terutama menjadi lebih matang dan berani berdepan cabaran terutama mendepani budaya dan perbezaan latar belakang.

"Walaupun mahir berbahasa Inggeris namun cara sebutan perkataan saya dan masyarakat di sini sedikit berbeza.

"Bagaimanapun, saya dapat menangani halangan ini dengan mempelajari bahasa tempatan, selain tertarik dengan Bahasa Melayu yang mempunyai ton bunyi menarik," katanya yang boleh berbahasa Melayu walaupun kurang lancar.

Hairuni yang gembira sepanjang berada di Malaysia berkata, dia merancang membuka perniagaan butik pakaian apabila pulang ke negara asalnya kerana minat mendalam dalam bidang fesyen yang tentunya sedikit sebanyak akan dipengaruhi oleh elemen masyarakat tempatan di Malaysia.

Seramai 1,990 graduan menerima ijazah masing-masing sempena hari ketiga konvokesyen UMS hari ini yang disempurnakan Naib Canselor, Prof Datuk Dr D Kamarudin D Mudin.

Keseluruhannya, 128 pelajar antarabangsa menerima ijazah masing-masing sempena konvokesyen UMS kali ini.

Sementara itu, anak nelayan dari Pulau Ketam, Selangor yang juga penerima Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa Dengan Kepujian kelas pertama, Soh Shi Ying, 23, mengakui tidak sabar mencari pekerjaan untuk membantu ibu bapa dan keluarga.

"Saya berasal dari keluarga sederhana dan sebagai anak sulung daripada empat adik-beradik, sudah pasti tanggungjawab untuk mengubah ekonomi keluarga terletak di bahu saya. Walaupun merancang menyambung pengajian selepas ini, tetapi mahu cari pekerjaan dulu untuk meringankan beban ayah," katanya.

Pelajar Fakulti Kewangan Antarabangsa, UMS Labuan itu berkata, ketika mula mendapat tawaran menyambung pengajian ke Labuan, ia tidak dipersetujui ibu dan bapanya yang bimbing keselamatan dirinya memandangkan dia anak tunggal perempuan dalam keluarga.

"Bagaimanapun, selepas memberi penerangan akhirnya ibu bapa mengizinkan. Saya gembira selepas bersusah payah selama tiga tahun akhirnya beroleh ijazah kelas pertama," katanya.

Berita Harian X