Isnin, 20 November 2017 | 4:33pm
TAN Sri Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim berdialog pada Program Ramah Mesra dengan Penggiat Seni Budaya Kelantan di Dewan Besar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa.- Foto Nik Abdullah Nik Omar

Perlu dasar jelas bagi pembudayaan Bahasa Melayu

KOTA BHARU: Dasar budaya, warisan dan seni perlu diterjemah dengan jelas dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50) terutama pembudayaan Bahasa Melayu.

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata pembudayaan itu perlu dilaksanakan menerusi penentuan sistem pendidikan berasaskan Bahasa Melayu yang dikhuatiri semakin terhakis disebabkan kecanggihan teknologi.

Beliau berkata, selain adat Melayu yang sudah termaktub dalam Perkara 160 perlembagaan persekutuan dan peranan raja Melayu, sebahagian dasar perlu dizahirkan dalam TN50.

"Orang Melayu adalah penduduk asal jadi mesti mempunyai pengkhususan hak pembudayaan di tanah air sendiri.

"Saya sudah mengemukakan beberapa pandangan dalam kongres budaya pada April lalu dan kita meminta supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjelmakan bahagian budaya, warisan dan seni menerusi perjuangan kongres berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Rais turut menggesa agar masyarakat Melayu mencontohi kegigihan bangsa lain yang memiliki acuan sendiri dalam memartabatlan budaya tersendiri.

Beliau berkata demikian selepas program ramah mesra bersama penggiat seni budaya Kelantan dan mengadakan sesi dialog di Dewan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Pengkalan Chepa di sini.

Beliau turut menyerahkan cek bernilai RM100,000 kepada Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan UMK yang diterima oleh Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Datuk Abd Aziz Ab Latif.

Dana itu adalah sebagai suntikan permulaan bagi penganjuran kegiatan seni dan warisan fakulti terbabit bagi memartabatkan kebudayaan Melayu di negeri ini.

Berita Harian X