Selasa, 21 November 2017 | 1:12pm
MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob ketika sesi pembentangan Bajet Negeri Pahang 2018 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

Pahang catat bajet lebihan tahun ke-15

KUANTAN: Bajet Pahang 2018 mencatat lebihan sebanyak RM640,000, kali ke-15 sejak tahun 1992.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata bajet itu menganggarkan kutipan hasil berjumlah RM700.64 juta manakala perbelanjaan mengurus berjumlah RM700.04 juta.

Beliau berkata, Bajet 2018 juga menyediakan peruntukan pembangunan dengan anggaran RM108.57 juta.

Katanya, anggaran kutipan hasil diperoleh daripada kutipan hasil tanah dan galian RM337.70 juta, hasil perhutanan RM102.45 juta, hasil air RM12.50 juta, pemberian geran yang akan diterima daripada kerajaan Persekutuan RM159 juta, dan lain-lain hasil RM88.99 juta.

"Daripada jumlah perbelanjaan pula, sebanyak RM560.76 juta adalah batas perbelanjaan jabatan, RM14.72 juta dasar baharu (kenaikan kontrak memasak sekolah menengah agama, kawalan keselamatan dan utiliti) dan RM124.56 juta untuk bajet One-Off.

"Bagi peruntukan pembangunan pula, jumlah peruntukan 2018 dikurangkan sebanyak 44.6 peratus berjumlah 58.57 juta berbanding 105.73 juta bagi tahun 2017. Peruntukan hanya dikhususkan bagi projek sambungan dan program sedia ada sahaja.

"Kerajaan Negeri masih lagi memperuntukkan 50 juta ringgit bagi Pembangunan Bekalan Air untuk Pengurusan Air Pahang Bhd (PAIP) daripada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Pahang 2018 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Adnan juga mengumumkan pemberian bantuan khas RM1,500 kepada 8,000 penjawat awam negeri.

Beliau berkata, RM1,000 akan dibayar pada Januari 2018 manakala RM500 lagi akan dibayar menjelang Hari Raya Puasa.

Berita Harian X