Selasa, 21 November 2017 | 1:36pm
MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Pegawai Kewangan Perak, Datuk Mohd Ghazali Jalal (kiri) menunjukkan buku Bajet 2018 yang akan dibentangkan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan Negeri ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan. - Foto Abdullah Yusof

Insentif RM2,000 untuk kakitangan awam Perak

IPOH: Kerajaan Perak mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM2,000 kepada kakitangan awam negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata insentif yang sama diberikan kepada guru i'dadi, thanawi, tadika Islam serta guru sandaran tidak terlatih dan guru sambilan harian.

"Bagi maksud pembayaran, RM1,000 akan dibayar pada bulan depan manakala bakinya akan dibayar menjelang Aidilfitri tahun depan.

"Ini membabitkan peruntukan hampir RM22 juta," katanya membentangkan Bajet 2018 negeri Perak di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Zambry berkata, semua guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, siak, ketua kampung dan tok batin yang menerima insentif RM1,500 daripada Kerajaan Persekutuan pula akan menerima tambahan RM500 daripada kerajaan negeri.

Beliau turut mengumumkan berita baik kepada bakal pesara kerajaan negeri apabila kadar insentif sebanyak RM3,000 diterima sebelum ini dinaikkan kepada RM4,000.

Katanya, pemberian insentif khas kepada bakal pesara itu yang sebelum ini hanya membabitkan Kumpulan Pelaksana juga diperluaskan kepada kumpulan Pengurusan dan Profesional, Gred 41 dan ke atas.

"Pemberian bantuan khas kewangan dan insentif ini adalah tanda terima kasih pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) atas sumbangan penjawat awam," katanya.

Berita Harian X